Home PolitikPAS /PPBM / LAIN BN bukan musuh PAS dalam PRU15

BN bukan musuh PAS dalam PRU15

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Sept – PAS tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama).

“PAS yakin Agenda Penyatuan Ummah dan Perpaduan Nasional di antara orang Melayu- Islam, kaum Bumiputra serta rakyat pelbagai kaum di negara ini hanya dapat dicapai sekiranya kestabilan politik dapat diwujudkan selepas PRU15,

“Justeru itu PAS terus berusaha dengan pelbagai pendekatan antaranya menyeru seboleh mungkin parti-parti yang mewujudkan Kerajaan Persekutuan sekarang dapat bekerjasama menghadapi PRU15 nanti seterusnya membentuk sebuah kerajaan baru yang lebih mantap dan berotoriti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Takiyuddin berkata, PAS sebaliknya tetap menegaskan bahawa musuh sebenar penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya termasuk khemah besar.

Beliau berkata, PAS yakin gabungan atas konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional sahajalah mampu menjadi formula terbaik serta berkesan.

“Konsep ini diterima oleh majoriti pengundi ke arah mewujudkan sebuah kerajaan prihatin rakyat dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat,

“Pada masa yang sama memberikan perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang (check and balance),” ujarnya.

Katanya, PAS amat optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik di antara parti-parti utama Melayu-Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih dari 2 penjuru dalam PRU15 nanti.

“Ini bukan sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat merentasi kaum, agama, bangsa serta budaya, tetapi juga mengelakkan berulangnya sejarah hitam yang berlaku semasa PRU14,” jelasnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply