ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM) akan melancarkan Strategi Ketenteraan Negara 2.0 pada sambutan hari ulang tahun pasukan itu pada akhir September ini. Perkara tersebut dijelaskan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM semasa wawancara khas bersama beliau baru-baru ini.
“Saya akan lancarkan Straetegi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 yang telah ditambah baik pada 26 September ini,
“Ini adalah untuk melihat dan memberikan panduan supaya ATM sentiasa keadaan sedia dan relevan semasa maju ke hadapan,” katanya.
Menurut beliau, SKN 2.0 akan menyentuh pembentukan Angkatan Masa Hadapan. Namun begitu, SKN 2.0 yang telah ditambah baik tidak menyentuh secara terperinci jenis atau model aset yang diperlukan oleh ATM pada masa hadapan.

Strategi Ketenteraan Negara 2.0 tidak akan memperincikan jenis peralatan yang akan diperolehi oleh ATM.
“Saya tak nyatakan apakah kapal dan pesawat nak dibeli mahupun apakah sistem yang kita ada,
“Tetapi kita menerapkan kriteria-kriteria keupayaan yang perlu dimiliki oleh ATM pada masa hadapan,” jelas Panglima Angkatan Tentera.
Tambahnya, tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan kepentingan Malaysia sentiasa dilindungi merupakan janji yang perlu dipenuhi oleh beliau serta ATM.
Dalam wawancara khas yang diadakan di Wisma Perwira, Affendi tanggungjawab tersebut dapat dipenuhi dengan memastikan keupayaan-keupayaan yang diperlukan dapat dipenuhi.
Selain daripada itu, ATM perlu mempunyai perancangan tersendiri dalam menghadapi situasi ancaman yang sentiasa berubah-ubah.
“Ianya menyentuh ancaman yang hadir. Dalam maju ke hadapan dan perubahan tahun, ancaman-ancaman pun turut berubah,” ujar beliau sambil menjelaskan ancaman akan turut berubah mengikut peredaran masa.
Tambah Panglima Angkatan Tentera, perancangan ke hadapan perlu dibuat bagi memastikan ATM dapat membendung ancaman sebegini.

Persekitaran geostrategik yang tidak menentu memerlukan ATM untuk bersedia hadapi sebarang ancaman pada setiap masa.
“Melihat 5 ke 10 tahun akan datang, saya perlu menyediakan pasukan ini akan bersedia dalam menghadapi ancaman yang berubah,
“Usaha ini perlu dimulakan dari sekarang,” tegasnya.
SKN 2.0 – langkah untuk atasi risiko angkatan lompong
Usaha menambah baik SKN telah dinyatakan oleh Affendi semasa Sambutan Hari Ulang Tahun ATM ke-88 di Port Dickson pada tahun lalu. Dalam perutusan beliau pada ketika itu, Panglima Angkatan Tentera menegaskan SKN 2.0 akan menjadi instrumen aplikasi kuasa ketenteraan dalam mendukung kuasa negara.

Peredaran zaman membawa perubahan teknologi dan juga bentuk ancaman.
SKN 2.0 merupakan reformasi Angkatan Masa Hadapan dengan melalui ciri-ciri yang meliputi kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak di dua wilayah dan berorientasikan misi.
“Dalam kesungguhan mencapai kearah Angkatan Masa Hadapan ini, saya ingin mengingatkan, bahawa perancangan, pembangunan, dan perolehan pertahanan hendaklah dilaksana secara menyeluruh,
“Kegagalan untuk mencapai matlamat ini akan memerangkap ATM ke arah menjadi sebuah Angkatan Lompong,
“Lebih buruk, sekiranya ia tidak ditangani, maka hasrat untuk menjadi Angkatan Masa Hadapan akan terhalang dan berkemungkinan besar tidak akan tercapai,” katanya dalam perutusan yang dibuat pada tahun lalu.
Menjadi perisai kedaulatan negara, ATM merupakan kunci utama kekuatan pertahanan Malaysia. Pasukan yang menginjak usia 89 tahun ini telah dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan kedaulatan dan menjaga keselamatan negara dari ancaman luar. – airtimes.my
