Home Pertahanan dan Keselamatan Maritim Malaysia tahan 2 bot Vietnam rompak RM3 juta khazanah laut negara

Maritim Malaysia tahan 2 bot Vietnam rompak RM3 juta khazanah laut negara

by Wazien Zamri

KUALA LUMPUR, 20 MAC – Pasukan Maritim Negeri Kelantan telah menyelamatkan RM3 juta hasil khazanah negara dari dirompak oleh nelayan asing.

Ini berikutan kejayaan pasukan itu menahan 2 buah bot milik warga asing dalam rondaan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam.

Dalam kejadian Sabtu lalu,  kapal Maritim Malaysia terpaksa bertindak memintas bot dan melakukan force boarding untuk menghentikan bot bot tersebut. Tindakan ini diambil setelah kedua-dua bot dilihat tidak memberikan kerjasama dan sebaliknya cuba meloloskan diri ke sempadan perairan negara apabila diarahkan untuk menghentikan bot.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, kedua-dua bot tersebut dikesan dalam pukul 11.02 pagi pada kedudukan lebih kurang 160 hingga 162 batu nautika dari muara Tok Bali ketika kapal milik agensi melakukan rondaan. Bot pertama berjaya ditahan kira-kira pukul 11.28 pagi diikuti penahanan bot kedua pada pukul 12.14 tengah hari.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua bot tersebut masing-masing mempunyai 18 dan 5 orang kru termasuk tekong. Menjadikan jumlah tahanan keseluruhan seramai 23 orang, kesemuanya disyaki merupakan warga Vietnam dalam lingkungan umur 16 hingga 55 tahun. Melalui pemeriksaan lanjut, bot yang ditahan juga didapati adalah milik nelayan asing Vietnam.

“Tangkapan kali ini turut melibatkan rampasan hasil laut kira-kira 1,000 kilogram, peralatan menangkap ikan, alat navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 2,500 liter yang dianggarkan bernilai hampir RM3 juta,

“Proses membawa balik bot tahanan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat telah mengambil masa lebih 35 jam sebelum kedua-dua bot tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan kira-kira pukul 11.00 malam Ahad,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua bot yang disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara serta tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia, akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985.

Menurut Erwan, kegagalan tekong bot memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia  akan disiasat di bawah Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata, kesemua kru juga tidak memiliki dokumen pengenalan yang sah, mereka akan dikenakan siasatan lanjut  mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #MaritimMalaysia #Maritim

Related Articles

Leave a Reply