Home Pertahanan dan Keselamatan OPV1 APMM dinamakan KM Tun Fatimah

OPV1 APMM dinamakan KM Tun Fatimah

by Nurulhuda

KUCHING, 3 Mac – Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dinamkan dengan nama Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah.

Upacara penamaan itu telah disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Jeti Lembaga Pelabuhan Kuching pada Sabtu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan nama Tun Fatimah adalah berdasarkan sifat keberanian permaisuri Melaka itu dalam menjaga bangsa dan kedaulatan tanah air.

Beliau berkata, mengambil semangat yang ada pada Tun Fatimah, kapal berkenaan diletakkan di Laut China Selatan bagi menangani isu keselamatan sempadan perairan negara.

Selain itu, jelasnya, OPV1 turut berperanan sebagai mothership kepada bot peronda APMM yang ditugaskan melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan tersebut.

OPV1 yang berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter itu mampu mencapai kelajuan 21 knot dengan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan.

Pada 18 Januari lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi dilaporkan berkata, OPV1 yang dibina sepenuhnya di Malaysia akan melakukan pemantauan di kawasan perairan Sarawak, khususnya di Laut China Selatan.

OPV1 adalah OPV kelima APMM yang beroperasi setakat ini, selain KM Arau, KM Pekan, KM Langkawi dan KM Banggi.

Mengulas mengenai isu keselamatan di Laut China Selatan, Saifuddin berkata, sejak Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara, keselamatan negara menjadi keutamaan kerana Malaysia tidak terkecuali daripada berhadapan ancaman yang berkemungkinan datang dari laut yang boleh menjejaskan kesejahteraan negara.

Justeru ujar beliau, kerajaan telah mengambil tindakan segera dengan memastikan KM Tun Fatimah dapat disiapkan agar ia dapat melaksanakan pengawasan, pemantauan, dan penguatkuasaan di Zon Ekonomi Eksklusif negara.

“Selain dihantar bagi menjaga keselamatan sempadan perairan negara, KM Tun Fatimah berperanan untuk mengurangkan pencerobohan Bot Nelayan Asing (BNA) di kawasan perairan negara,” jelasnya lagi.-airtimes.my

#APMM #keselamatan #KMTunFatimah #airtimes #Kuching

Related Articles

Leave a Reply