Home Pertahanan dan Keselamatan Kolumnis: Selepas KM Tun Fatimah, APMM terpaksa tunggu lebih lama untuk OPV 2 dan OPV 3

Kolumnis: Selepas KM Tun Fatimah, APMM terpaksa tunggu lebih lama untuk OPV 2 dan OPV 3

by Zaki Salleh

Setelah sebulan diserahkan, kapal peronda luar pesisir pertama (OPV 1) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) secara rasmi dinamakan sebagai KM Tun Fatimah.

Majlis penamaan OPV 1 ini disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Jeti Lembaga Pelabuhan Kuching, Sarawak.

Kapal ini menjadi aset baharu APMM bagi mengawal kawasan perairan di Sarawak.

Sebelum ini nama Tun Fatimah telah pun digunakan oleh pihak media, namun atas sebab-sebab tertentu pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) lebih selesa merujuk kapal tersebut sebagai OPV 1 sahaja.

Pengoperasian KM Tun Fatimah memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia khususnya di kawasan Laut China Selatan yang menjadi tumpuan aktiviti ekonomi.

OPV 1 kini dikenali sebagai KM TUN FATIMAH selepas majlis penamaan kapal yang isempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail. Foto: Maritim Malaysia

Dengan saiz OPV yang besar, ia juga berperanan sebagai kapal induk kepada bot-bot peronda APMM yang melakukan rondaan penguatkuasaan.

Ini juga menjadikan kapal itu sebagai OPV kelima APMM selain KM Arau, KM Pekan, KM Langkawi dan KM Banggi.

Pembinaan kapal KM Tun Fatimah sendiri melalui liku-liku yang panjang, malah berdepan beberapa masalah namun akhirnya siap walaupun mengambil masa enam tahun.

Kontrak perolehan tiga OPV bernilai RM738.9 juta ini dimeterai TH Heavy Engineering (THHE) pada Januari 2017 untuk disiapkan dalam tempoh 42 bulan dan sepatutnya siap pada Julai 2020.

Ia merupakan penganugerahan kontrak secara rundingan terus untuk keperluan projek di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Pada awal tahun lepas, kerajaan mengambil alih projek OPV 1 daripada bekas anak syarikat Tabung Haji, THHE Destini Sdn Bhd, selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

Susulan itu Kementerian Kewangan (MOF) terpaksa menyuntik pinjaman RM152.6 juta menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan pada  tahun tersebut.

Secara kiraan kasar, dengan penambahan kos ini menjadikan harga sebuah OPV meningkat kepada RM297 juta berbanding RM246.3 sebelumnya.

Selepas penyerahan OPV 1 atau KM Tun Fatimah ini, seterusnya yang dinanti-nantikan ialah dua kapal seterusnya iaitu OPV 2 dan OPV 3.

Justeru, kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa hadir pada majlis penamaan KM Tun Fatimah tentang status dua OPV berkenaan sangat dinantikan.

Menurut Saifuddin, kerajaan kini sedang berusaha menyegerakan proses pembinaan kapal OPV2 dan OPV3.

Beliau dipetik sebagai berkata, OPV2 dijangka dapat diserahkan dalam tempoh satu setengah tahun lagi.

“Apabila kita dah siap OPV1 (KM Tun Fatimah), proses pembinaan OPV2 dan OPV3 akan lebih lancar kerana format semua sama (dengan OPV1).

“Kita yakin kita dapat siapkan paling cepat satu tahun setengah daripada sekarang untuk OPV2 dan OPV3 akan menyusul selepas itu,” katanya kepada media.

Dengan kenyataan terbaharu Menteri KDN ini, maka dapat sedikit pencerahan berhubung nasib dua kapal berkenaan.

Mengikut perkiraan sebelum ini, kapal OPV 2 akan diserahkan kepada APMM beberapa bulan selepas OPV 1 dan seterusnya adalah kapal OPV 3.

Walaupun kapal OPV pertama telah siap, status OPV 2 dan OPV 3 masih lagi tinggal tanda tanya. Foto: Maritim Malaysia

Sepatutnya, selepas kapal OPV 1 diluncurkan ke laut pada Oktober tahun 2022 maka progres seterusnya ialah menyiapkan struktur OPV 2 dan OPV 3 di limbungan.

Imbas kembali semasa lawatan Saifuddin ke Limbungan THHE di Pulau Indah, Selangor bulan Mac tahun lalu beliau diberi jaminan bahawa dua kapal OPV dapat disiapkan.

Malah, semasa lawatan dua bulan sebelumnya, Saifuddin meminta projek pembinaan OPV disiapkan mengikut tempoh ditetapkan iaitu pada Mac bagi OPV 1 dan Oktober (OPV 2)

Mengikut jangkaan sebelum ini, OPV2 diserahkan pada penghujung tahun lalu iaitu beberapa bulan selepas siap OPV1.

Jika benar tempoh satu tahun setengah  diberi untuk menyiapkan OPV 2, ia sebenarnya satu jangkamasa yang lama memandangkan garis masa sejak kontrak diberi adalah pada 2017.

Ini bermakna, OPV 2 akan mengambil masa lapan tahun disiapkan (bermula dari tarikh kontrak) manakala tempoh untuk menyiapkan OPV 3 mengambil masa lebih lama lagi.

Memandangkan Menteri KDN hanya mengeluarkan kenyataan semasa sidang media tanpa memberikan sebarang bukti secara hitam putih, maka masih wujud tanda tanya.

Ini kerana kelewatan pembinaan OPV 2 dan OPV 3 tidak sepatutnya berlaku setelah THHE diberi satu tempoh yang lama untuk menyiapkan kapal-kapal berkenaan. – airtimes.my

#AirTimes #MaritimMalaysia #KMTunFatimah

Related Articles

Leave a Reply