Home Pertahanan dan Keselamatan Juragan bot lari, APMM rampas dadah bernilai RM1.76 juta di Tawau

Juragan bot lari, APMM rampas dadah bernilai RM1.76 juta di Tawau

by Air Times News Network

TAWAU, 5 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya mematahkan cubaan seludup dadah bernilai RM1.76 juta di perairan Inderasabah, pada Isnin.

APMM dalam hantaran media sosialnya berkata, rampasan dilakukan ketika pihaknya mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan pada jam 11.30 malam di 0.2 batu nautika selatan Inderasabah.

Tambahnya lagi, bot tersebut bertindak memecut laju dan cuba melarikan diri ketika dihampiri.

“Ketika proses kejar-mengejar, juragan bot bertindak membuang sesuatu keluar dari bot,

“Usaha bagi menghentikan bot dan suspek gagal apabila tekong bot bertindak memecut laju ke arah kawasan paya bakau dan perairan cetek bagi meloloskan diri daripada ditahan,” katanya.

Menurut APMM, pihaknya telah menemukan sebuah beg berisi 32 paket bungkusan teh cina berlabel ‘Guan Ying Wang’ yang mengandungi dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat keseluruhan 32 kilogram.

Tegasnya lagi, kesemua rampasan telah dibawa ke jeti APMM Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply