Ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2019 bagi kementeriannya (Mindef), Mohamad berkata, beliau telah menerima jawapan bertulis daripada Kementerian Kewangan yang menjelaskan dengan lebih lanjut berhubung peruntukan kewangan untuk tahun 2019 bagi kementeriannya.

“Dalam jawapan bertulis kepada saya, Kementerian Kewangan menjelaskan sejumlah RM1.4 bilion diperuntukkan bagi penyelenggaraan aset utama milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disediakan di bawah Kementerian Kewangan dengan itu jumlah peruntukan sebenar untuk Mindef bagi 2019 ialah sebanyak RM15.3 bilion. Kaedah dan mekanisme penyaluran peruntukan penyelenggaraan tersebut akan diselaras dengan pihak Mindef dalam masa terdekat.

“Kementerian Kewangan juga menjelaskan mereka mengambil maklum terhadap keperluan tambahan peruntukan Mindef bagi tahun 2019 dan akan membuat pertimbangan sewajarnya tertakluk kepada keupayaan kewangan semasa serta prestasi belanjawan Mindef tanpa mengabaikan usaha memastikan tahap keselamatan negara berada pada tahap optimum,” katanya yang membaca jawapan bertulis yang diterimanya daripada Kementerian Kewangan itu.

Justeru, katanya, jawapan berkenaan memberi satu jaminan bahawa tidak berlaku pengurangan nyata peruntukan dalam Belanjawan 2019 bagi Kementerian Pertahanan dan beliau turut memberi jaminan kementerian itu dapat beroperasi dengan baik. – Bernama