KUALA LUMPUR, 13 DIS – Sejumlah lebih 142 juta jumlah kerugian telah direkodkan oleh mangsa kes penipuan berkaitan pengeluaran dan pemindahan wang sepanjang tempoh Januari hingga Ogos 2024, lapor Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Sepanjang tempoh tersebut, NSRC telah menerima sebanyak 55,606 panggilan melibatkan laporan kes penipuan dan permohonan khidmat nasihat daripada orang ramai.
“Berdasarkan aduan-aduan yang diterima itu, didapati jumlah kerugian yang dialami mangsa bagi tahun 2024 setakat ini adalah sebanyak RM142,255,143.06,” menurut kenyataan bertulis Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan menegaskan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi menangani isu ini, termasuk memperkukuh kawalan keselamatan perbankan dalam talian.
“Pelaksanaan langkah tambahan keselamatan yang dibuat oleh institusi kewangan sejak September 2022 telah berjaya membantu institusi kewangan menyekat transaksi yang tidak sah dan mencurigakan bernilai RM383 juta bagi tahun 2023,” tambahnya.
Jelasnya, usaha ini dilaksanakan selaras dengan amalan industri terbaik serta telah menunjukkan hasil positif, termasuk penurunan trend kes penipuan seperti phishing dan malware.
Dalam pada itu, antara lain usaha yang dilaksanakan BNM ialah memperketat piawaian pengesanan penipuan secara masa nyata dan meningkatkan dasar Electronic Know Your Customer (e-KYC) untuk pengesahan identiti.
Manakala, pelaksanaan mekanisme “kill switch” pula membolehkan pengguna membekukan akaun mencurigakan serta menambah baik peraturan pengeluar wang elektronik untuk mencegah sebarang penipuan.
Dalam perkembangan lain, Portal Anti Penipuan Kebangsaan (NFP) yang dibangunkan industri kewangan dan BNM bakal diguna pakai secara berperingkat.
Portal ini bertujuan mempercepatkan pengesanan dan pembekuan dana yang ditipu, selain meningkatkan perkongsian data dalam kalangan peserta industri kewangan.
Tegas Kementerian Kewangan, pendekatan menyeluruh negara (whole-of-nation) akan terus menjadi keutamaan dalam usaha memerangi ancaman penipuan yang semakin canggih dan sukar.
Kenyataan bertulis Kementerian Kewangan ini dimuat naik di laman web Parlimen bagi menjawab pertanyaan Rodiyah Sapiee yang meminta Menteri Kewangan menjelaskan jumlah kes penipuan berkaitan pengeluaran dan pemindahan wang sepanjang tahun 2024 serta langkah yang diambil bagi menangani isu berkenaan. -airtimes.my
#BNM #Penipuan #Scam #Malaysia #KementerianKewangan