KUALA LUMPUR, 13 DIS – Kementerian Pertahanan menyatakan tiada sebarang bayaran pampasan yang akan dilakukan terhadap pengusaha Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akibat daripada pemansuhan program tersebut.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Kementerian tersebut berpandangan bahawa tiada sebarang bayaran pampasan yang akan dilakukan kerana pihak pengusaha PLKN gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk tuntutan pampasan.
“Pihak pengusaha PLKN tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen lengkap yang disahkan sebagai bukti kukuh bahawa mereka telah melaksanakan kerja-kerja bekalan, perkhidmatan dan naik taraf kem PLKN masing-masing berdasarkan pembuktian kukuh.” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat, yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Berhubung dengan tindakan yang diambil kerajaan untuk membayar pampasan tersebut, Kementerian Pertahanan telah menubuhkan Jawatankuasa Contract Coordination Panel (CCP) untuk meneliti permohonan pampasan oleh pengusaha-pengusaha PLKN.
Dilaporkan jumlah pampasan yang dikemukakan oleh pengusaha-pengusaha tersebut adalah berjumlah RM 224,923,919.00.
Beliau juga menyatakan, pihak kerajaan telah memenuhi kesemua obligasi kontrak sebelum penamatan kontrak tersebut mengikut Klausa 36 dan tiada bayaran sewaan yang tertunggak yang belum diselesaikan oleh pihak kerajaan.
“Permohonan pampasan pengusaha Kem PLKN juga telah dipertimbangkan dan disantuni dengan cermat berpandukan peraturan yang berkuat kuasa.” katanya lagi.
Untuk rekod, terdapat 81 kem PLKN di seluruh negara dengan kos keseluruhan pembinaan dianggar mencecah RM1 bilion. Setiap pengusaha mengeluarkan antara RM12 hingga RM19 juta untuk membina dan mengoperasikan kem bagi menjayakan program bermula 2004 itu yang kemudian dimansuhkan pada 2018.-airtimes.my
#airtimes #PLKN #Khaled #pampasan #kerugian