Home Pertahanan dan Keselamatan USS Spartanburg County: Legasi sebuah kapal membentuk keupayaan maritim Malaysia

USS Spartanburg County: Legasi sebuah kapal membentuk keupayaan maritim Malaysia

A+A-
Reset

Sesebuah aset seperti kapal perang tidak semestinya dikenang kerana keupayaan sistem persenjataannya semata-mata. Tetapi, nilai sebenarnya terletak pada jasa, pengalaman operasi dan legasi yang ditinggalkan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Dalam konteks Malaysia, USS Spartanburg County menjadi contoh paling jelas bagaimana sebuah aset tentera laut asing mampu membentuk keupayaan strategik negara secara menyeluruh.

Kapal jenis Landing Ship Tank (LST) ini ditauliahkan semula sebagai KD Sri Inderapura pada tahun 1995 dan sekali gus menjadi simbol keupayaan amfibia terbesar pernah dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Kehadirannya bukan sahaja mengisi jurang keupayaan logistik dan mobiliti, malah memperkenalkan dimensi baharu dalam pemikiran operasi bersama dan bantuan kemanusiaan.

Latar pembinaan dan perkhidmatan awal

Bekas USS Spartanburg County (LST-1192) (tengah) bersama pasukan petugas Kapal Diraja Malaysia (dari atas ke bawah) Lekiu; Marikh; TLDM KD Sri Inderapura (L-1505) (bekas USS Spartanburg County (LST 1192); Perantau; dan Lebat), kapal wap di wilayah Selat Melaka dalam latihan. Foto: U.S. Navy

USS Spartanburg County merupakan sebuah kapal pendaratan amfibia kelas Newport yang dibina pada tahun 1970 di San Diego, California, Amerika Syarikat, ketika era Perang Dingin masih membentuk landskap keselamatan global. Reka bentuknya memberi keutamaan kepada keupayaan membawa kenderaan tempur, anggota tentera serta peralatan berat terus ke zon operasi, kawasan pesisir tanpa bergantung kepada pelabuhan.

Sebagai kapal ke-13 daripada 20 unit kelas Newport milik Tentera Laut Amerika Syarikat, kapal ini berkhidmat hampir 25 tahun di bawah panji US Navy.

Daripada keseluruhan armada ini, lapan unit telah dijual kepada Malaysia, Sepanyol dan Australia, manakala beberapa yang lain disewakan kepada negara sekutu. Langkah ini mencerminkan nilai operasi kapal kelas Newport yang masih relevan meskipun teknologi ketenteraan terus berkembang.

Pemilikan kapal ini berlaku dalam konteks keperluan strategik Malaysia pada awal 1990-an untuk meningkatkan keupayaan mobiliti amfibia dan logistik laut. TLDM ketika itu memerlukan aset berskala besar yang mampu menyokong operasi ketenteraan bersama, pengangkutan strategik jarak jauh serta misi bantuan bencana di dalam dan luar negara.

Perolehan oleh Malaysia dan aspek sokongan

Perjanjian pembelian USS Spartanburg County dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat pada 14 November 1994, dengan nilai yang dianggarkan sekitar RM48 juta. Dengan kekuatan seramai 324 anggota, ia menjadi aset terbesar pernah dimiliki TLDM pada waktu tersebut, dari segi saiz dan kapasiti operasi.

Perolehan ini tidak terhad kepada aset fizikal semata-mata. Ia turut merangkumi Sistem Sokongan Logistik Bersepadu atau Integrated Logistics Support (ILS), termasuk pembekalan sokongan alat ganti, dokumentasi teknikal serta latihan kakitangan selama tiga tahun. Elemen ini penting dalam memastikan TLDM berdaya mengoperasikan kapal berteknologi tinggi secara berdikari dan berkesan.

Sepanjang hampir 15 tahun perkhidmatan, kapal ini beroperasi di bawah pimpinan 10 orang pegawai memerintah. KD Sri Inderapura terlibat dalam pelbagai misi ketenteraan, misi bukan peperangan dan bantuan kemanusiaan.

Keupayaannya beroperasi tanpa kemudahan pelabuhan membolehkan bantuan disalurkan lebih awal ke kawasan terjejas, berbanding kaedah konvensional. Ia sekali gus meningkatkan imej Malaysia sebagai negara yang responsif dalam misi kemanusiaan serantau.

Selain peranan operasi, kapal ini juga memainkan peranan penting dalam latihan operasi bersama antara cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Latihan pendaratan amfibia bersama Tentera Darat Malaysia memperkukuh konsep operasi bersama dan meningkatkan kesediaan pasukan dalam senario konflik serta pengurusan krisis.

Sumbangan bukan ketenteraan dan legasi nasional

Penggunaan kapal bekas Amerika Syarikat ini turut membuka ruang perkongsian pengetahuan teknikal serta cara terbaik penyelenggaraan. Hal ini di mana mendedahkan mengenai standard operasi dan sistem sokongan logistik yang lebih matang kepada jurutera serta anak kapal TLDM.

Di luar konteks ketenteraan, kapal ini juga menyumbang kepada misi bersifat nasional dan simbolik. Antaranya termasuk membawa kenderaan pacuan empat roda bagi Ekspedisi Kembara Merdeka ke Cape Town, Afrika Selatan, serta menyokong pelayaran bantuan logistik KLD Tunas Samudera yang mengelilingi dunia.

Misi-misi ini memperlihatkan keupayaan Malaysia menggerakkan aset laut untuk operasi jarak jauh dan berprofil tinggi.

Penglibatan dalam konflik dan misi antarabangsa

Anak kapal berdiri di pagar ketika kapal pendaratan kereta kebal USS SPARTANBURG COUNTY (LST-1192) kembali ke pelabuhan selepas ditempatkan di kawasan Teluk Parsi semasa Operasi Desert Storm.

USS Spartanburg County juga memiliki sejarah operasi antarabangsa melibatkan dalam beberapa konflik utama dunia, antaranya termasuk penglibatan dalam Operasi Desert Shield dan Operasi Desert Storm semasa Perang Teluk.

Pengalaman operasi inilah yang menjadi nilai tambah apabila kapal ini dipilih oleh Malaysia, kerana ia telah diuji dalam persekitaran konflik yang sebenar. Walaupun akhirnya dilupuskan selepas bertahun-tahun berkhidmat, legasi USS Spartanburg County kekal relevan dalam lipatan sejarah sebagai aset yang telah mengharumkan nama TLDM dan negara.

Ia membuktikan bahawa pemindahan aset ketenteraan yang dirancang dengan teliti mampu memberikan pulangan strategik melebihi jangka hayat fizikalnya. Lebih penting, kapal ini meninggalkan warisan pemikiran tentang nilai sebenar sebuah aset pertahanan, bukan sekadar pada keluli dan senjata, tetapi pada kesan jangka panjang terhadap keupayaan dan keyakinan sesebuah negara. -airtimes.my

#Airtimes #USSSpartanburg County #KDSriInderapura #Pertahanan #TenteraLaut #Maritim #TLDM #AmerikaSyarikat #Malaysia

Leave a Reply