PUTRAJAYA, 31 MAC – Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada Indonesia susulan insiden serangan yang meragut nyawa serta mencederakan anggota pengaman negara tersebut di Lubnan pada 29 dan 30 Mac lalu.
Pada masa yang sama, Kuala Lumpur mengesahkan kesemua anggota tentera Batalion Malaysia (MALBATT) di zon konflik tersebut kini berada dalam keadaan selamat.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa tragedi yang menimpa anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) itu dikesan berlaku di kawasan Adchit Al Qusayr dan Bani Hayyan.
Wisma Putra menegaskan bahawa sebarang bentuk serangan ke atas misi pengaman antarabangsa merupakan satu pelanggaran yang serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang diwartakan pada tahun 2006.
“Malaysia menyeru semua pihak untuk mematuhi sepenuhnya kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk pelaksanaan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 (2006) serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan, bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman PBB dan melindungi orang awam dan infrastruktur awam, tanpa kompromi,” kata kementerian itu pada Selasa.
Wisma Putra turut menggesa agar pihak yang mendalangi serangan tersebut diheret ke muka pengadilan dan dikenakan akauntabiliti atas perbuatan mereka.
Mengulas mengenai status keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia di sana, kementerian tersebut memberi jaminan bahawa kesemua anggota MALBATT yang sedang berkhidmat di bawah panji UNIFIL dilaporkan berada dalam keadaan selamat daripada ancaman pertempuran terbabit.
Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan pengaman MALBATT 850-13 dalam satu hantara di akaun media sosial masing-masing merakamkan takziah kepada Indonesia berhubung insiden yang menimpa seorang anggota pengaman INDOBATT. – airtimes.my
Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada Indonesia susulan insiden serangan artileri yang meragut nyawa anggota pengaman UNIFIL di Lubnan. Wisma Putra menuntut pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Wisma Putra turut sahkan kesemua anggota tentera MALBATT di zon konflik disahkan selamat.-airtimes.my
