Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia tak bantah Jepun peroleh kapal selam nuklear, pantau perlumbaan senjata rantau

Malaysia tak bantah Jepun peroleh kapal selam nuklear, pantau perlumbaan senjata rantau

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 12 FEB – Kerajaan Malaysia tidak akan mengemukakan sebarang bantahan rasmi terhadap cadangan Jepun untuk memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.

Menteri Pertahanan, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan keputusan tersebut diambil bagi menghormati kedaulatan negara terbabit dalam menentukan perolehan pertahanan masing-masing.

Perkara itu dinyatakan oleh beliau, bagi menjawab pertanyaan lisan Tan Kok Wai (Cheras) di Dewan Rakyat mengenai pendirian Malaysia terhadap cadangan Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi dalam perolehan kapal selam nuklear pada November tahun lalu.

Menurut Khaled, Malaysia mengambil maklum kenyataan Jepun yang mempertimbangkan perolehan tersebut berdasarkan perkembangan geopolitik semasa serta langkah serupa oleh negara lain seperti India dan Republik Korea.

Walau bagaimanapun, Malaysia tetap menzahirkan kebimbangan terhadap potensi perlumbaan senjata yang boleh menjejaskan kestabilan keselamatan di rantau ini.

“Pendirian Malaysia adalah selaras dengan komitmen terhadap Deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) 1971 serta Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) 1995,”

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, mana-mana negara termasuk Malaysia boleh membuat perolehan pertahanan tanpa campur tangan negara luar,” kata beliau.

Khaled menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan isu tersebut serta meneruskan libat urus melalui saluran diplomatik dengan negara berkepentingan termasuk Jepun. Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan negara, kestabilan serantau dan keamanan sejagat sentiasa terpelihara.

Deklarasi ZOPFAN yang dimeterai pada 1971 di Kuala Lumpur kekal sebagai instrumen utama dalam dasar luar Malaysia bagi memastikan Asia Tenggara tidak menjadi medan proksi atau persaingan kuasa-kuasa besar.

Di bawah kerangka ini, sebarang kehadiran aset berteknologi nuklear di perairan serantau sering dilihat sebagai cabaran terhadap keseimbangan kuasa (balance of power) yang cuba dikekalkan oleh negara-negara ASEAN.

Meskipun ZOPFAN memberikan penekanan terhadap kebebasan daripada campur tangan luar, Malaysia secara konsisten menggunakan pendekatan diplomasi berhemah bagi mengimbangi hak kedaulatan negara rakan dengan keperluan mengekalkan rantau ini daripada sebarang aktiviti ketenteraan nuklear yang provokatif.

Ketegasan ini diperkukuhkan lagi melalui Perjanjian SEANWFZ 1995 (Perjanjian Bangkok), yang secara spesifik melarang negara-negara anggota daripada membangun, memiliki, atau mengawal senjata nuklear di dalam zon tersebut. – airtimes.my

KATA KUNCI : Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin (MENHAN)JepunKementerian Pertahanan (MINDEF)MalaysiaPertahanan Keselamatan

Leave a Reply