Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan perinci inisiatif kerjaya kedua Veteran TLDM, Fokus sektor Maritim

Kementerian Pertahanan perinci inisiatif kerjaya kedua Veteran TLDM, Fokus sektor Maritim

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 2 MAC – Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sedang memperincikan inisiatif kerjaya kedua bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan memfokuskan kepada sektor maritim dan penguatkuasaan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan, langkah ini bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi veteran yang masih dalam usia produktif melalui pengoptimuman kepakaran mereka dalam industri berkaitan.

“Kita melihat veteran sebagai sumber tenaga kerja yang boleh diperbaharui (renewable) dan perlu dioptimumkan dalam merancakkan industri pekerjaan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Lumut, Komander Nordin Ahmad Ismail (Bersara) semasa sesi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, pihak JHEV telah mengadakan siri libat urus bersama Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) bagi menyediakan peluang kerjaya dalam bidang maritim.

Kerjasama turut dijalin bersama TalentCorp, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), dan Markas ATM bagi mengenal pasti modul mikro-kredential (micro-credentials) untuk kursus dalam perkhidmatan.

Ujarnya, sistem pemetaan kemahiran (skill mapping) yang selaras dengan standard perkhidmatan awam amat diperlukan bagi memastikan kepakaran teknikal veteran diiktiraf secara terus.

“Pengiktirafan melalui program seperti RPEL membolehkan pengalaman anggota diiktiraf dalam bentuk persijilan akademik tanpa perlu melalui proses latihan asas yang panjang,” jelas beliau.

Selain itu, MINDEF juga sedia menjalin hubungan dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memudah cara cadangan tersebut.

Tambah beliau, pengambilan veteran dalam agensi penguatkuasaan mampu memberikan penjimatan kos latihan kerajaan sehingga tempoh enam bulan.

“Veteran sudah mempunyai asas disiplin dan kepakaran yang kukuh, jadi mereka boleh terus menyumbang sebagai pakar rujuk atau tenaga pengajar di akademi latihan kementerian berkaitan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, JHEV sentiasa bekerjasama dengan PERKESO bagi memantau data pekerjaan veteran dalam sektor swasta bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.

KATA KUNCI : MalaysiaParlimenPertahanan KeselamatanTLDMVeteran ATM

Leave a Reply