Apabila seorang panglima tertinggi secara terbuka mengakui wujudnya cabaran defisit kepercayaan terhadap institusinya, itu bukan satu kelemahan. Sebaliknya, ia adalah satu langkah pertama yang radikal ke arah pembersihan tatakelola.
Tanggal 16 Februari 2026 mencatatkan sejarah tersendiri di Kem Sungai Besi apabila Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, menggariskan Perintah Ulung yang sarat dengan mesej ketegasan integriti dan anjakan paradigma taktikal.
Mengambil alih tampuk kepimpinan sejak 2 Februari lalu , Jeneral Datuk Haji Malek Razak tidak sekadar membaca retorik di atas pentas. Beliau merombak semula akronim institusi tersebut kepada Akhlak Teras, Tatakelola Tuntas dan Martabat Tempur.
Paling mencuri tumpuan dalam wacana pertahanan minggu ini adalah tindakan berani beliau menggempur pembentukan proksi peribadi dalam pengurusan tentera. Penetapan had tempoh maksimum 18 bulan bagi jawatan berisiko tinggi membuktikan keseriusan beliau dalam mencantas akar rasuah.
“Itu adalah tempat-tempat yang berisiko tinggi. Antaranya dari segi perolehan dan sebagainya. Kita tidak mahu apabila terlalu lama, wujud rasa selesa dan mereka membina ‘Little Napoleon’ sendiri di situ,” tegas beliau dalam sidang media yang padat dengan perincian objektif tadbir urus.
Selain itu, ketegasan ini juga disokong dengan pelaksanaan Pelan Pembanterasan Rasuah ATM 2025-2029 secara mandatori. Arahan pengisytiharan harta kini meliputi semua peringkat pemerintahan termasuk kumpulan pembuat keputusan tanpa sebarang kompromi.
Dalam usaha membina benteng moral yang ampuh, struktur organisasi turut dipinda. Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) kini diletakkan terus di bawah bidang kuasa PAT bagi memendekkan kerenah birokrasi, sekali gus membolehkan akses berkesan ke arah pembangunan kerohanian anggota yang menjadi tonggak terpenting kepimpinan beliau.
Rencana pemulihan ini tidak hanya tertumpu kepada soal integriti kewangan dan moral. Dari sudut operasi, landskap peperangan moden tidak lagi terhad kepada pertempuran fizikal darat, laut dan udara.
Gagasan Angkatan Masa Hadapan bagi dekad 2026 hingga 2030 mensasarkan penguasaan domain siber dan elektromagnetik. Dokumen strategik pertahanan seperti NDS 2.0 dikemas kini bagi memastikan kesiapsiagaan ATM berada pada tahap keunggulan operasi yang optimum.
Acara perbarisan tempur secara statik yang menampilkan 30 pegawai dan 730 anggota lain-lain pangkat berserta kelengkapan detasmen pasukan khas ATM menterjemahkan isyarat jelas tentang amaran kesiagaan ini kepada musuh negara. Penjajaran strategik diplomasi pertahanan turut diperhalusi bagi memastikan penyertaan ketenteraan Malaysia di pentas global benar-benar membawa nilai tambah strategik, bukan sekadar pelengkap kuota antarabangsa.
Namun begitu, sebuah jentera ketenteraan yang hebat tidak akan berfungsi secara tuntas tanpa jiwa manusia yang sejahtera. Oleh hal yang demikian, aspek kebajikan kekal menjadi paksi keutamaan.
Keprihatinan beliau diterjemahkan melalui mandat penyelenggaraan kemudahan asas perumahan yang layak didiami, sokongan dana sebanyak 471 juta ringgit pada tahun ini, serta jaminan bahawa khidmat bakti veteran tidak akan pernah dilupakan.
Perintah Ulung ini jelas bukan sekadar upacara kelaziman tradisi. Ia adalah sebuah pelan tindakan komprehensif, amaran keras kepada pesalah laku dalam organisasi, dan jaminan keselamatan yang padu kepada rakyat Malaysia.
Di bawah tema “Angkatan Masa Hadapan: Kedaulatan Dijulang, Pertahanan Diperkasa”, Jeneral Datuk Haji Malek Razak telah meletakkan standard integriti yang sangat tinggi.
Maruah pertahanan negara kini sedang dibersihkan, dan beban pembuktian kini terletak di bahu setiap lapisan pegawai serta perajurit untuk menterjemahkan ketegasan ini di lapangan tempur mahupun di meja tadbir urus.
