Home Pertahanan dan KeselamatanKerajaan akhirnya lulus RM200 juta siapkan projek OPV, kos meningkat RM940 juta

Kerajaan akhirnya lulus RM200 juta siapkan projek OPV, kos meningkat RM940 juta

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR 25 Feb – Setelah lebih empat tahun tertangguh, projek kapal rondaan luar pesisir (OPV) Maritim Malaysia (APMM) akhirnya dapat diteruskan apabila kerajaan meluluskan peruntukan.

Tambahan sebanyak RM200 juta bagi menyiapkan baki dua buah OPV telah mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin.

Dalam kenyataan itu beliau memberitahu, sebanyak RM120 juta masih berbaki daripada peruntukan asal yang diluluskan pada 2017 berjumlah RM740 juta bagi pembinaan tiga OPV.

Kini, kos projek OPV APMM meningkat kepada RM940 juta dengan tambahan RM200 juta tersebut.

Pada LIMA 2025 Mei tahun lalu, Shin Yang Shipyard telah menerima surat niat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membina baki dua OPV yang terbengkalai.

Projek yang dianugerahkan kepada Shin Yang Shipyard adalah berjumlah RM298.5 juta ketika itu.

Dua buah OPV yang gagal disiapkan itu telah mencapai status pembinaan sebanyak 76% dan 57%.

Kerajaan asalnya menganugerahkan projek OPV APMM kepada THHE Destini Sdn Bhd dengan tempoh penyiapan selama 42 bulan yang sepatutnya berakhir pada Ogos 2020.

Malangnya sehingga melepasi tempoh tersebut, pembinaan kapal-kapal OPV gagal disiapkan dengan pelbagai alasan dan isi dibangkitkan.

Kementerian Kewangan kemudian mengambil alih projek OPV tersebut daripada THHE Destini pada Januari 2023 selepas berdepan masalah.

Bagi menyelamatkan OPV pertama, kerajaan kemudian menyuntik pinjaman sebanyak RM152.6 juta.

Kapal OPV KM Tun Fatimah telah diserahkan kepada KDN pada Januari 2024.

Majlis penamaan kapal dilakukan di Jeti Lembaga Pelabuhan Kuching, Sarawak, bagi memperkasakan rondaan di perairan negara.

Kelewatan menyiapkan projek OPV menjadi skandal ketiga dalam siri kegagalan projek membina kapal peronda dan kapal perang negara.

Dua dekad lalu, negara berdepan skandal projek kapal New Generation Patrol Vessel (NGPV) yang dimulakan pada 1996 dan siap 10 tahun kemudian.

Syarikat PSC-Naval Dockyard gagal memenuhi kontrak bernilai RM5.4 bilion membina enam buah kapal ronda mengikut spesifikasi dan garis masa yang ditetapkan.

Anggaran peruntukan asal projek NGPV sebanyak RM30 bilion untuk keseluruhan 27 kapal.

MINDEF sekali lagi berdepan masalah sama dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) apabila projek dimeterai pada tahun 2014.

Kontrak bernilai RM9 bilion kepada syarikat Boustead Naval Shipyard bagi enam buah kapal kemudian meningkat RM11.22 bilion dengan jumlah kapal hanya lima buah.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply