Home Pertahanan dan KeselamatanProses pembersihan ATM masih berjalan – Menteri Pertahanan

Proses pembersihan ATM masih berjalan – Menteri Pertahanan

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 25 FEB  – Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertekad membanteras segala unsur kecurangan kuasa serta kegelinciran integriti, terutama rasuah dalam sistem pertahanan negara.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, proses pembersihan ATM kini masih lagi berjalan bagi membanteras gejala itu.

Antara langkah yang diambil oleh MINDEF dan ATM adalah memberi laluan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk melakukan siasatan.

Langkah drastik ini diambil bagi membersihkan kementerian daripada sebarang bentuk penyelewengan, tatkala institusi pertahanan nasional itu berdepan krisis keyakinan susulan pendedahan skandal rasuah.

Beliau berkata, tumpuan kini bukan sahaja terarah kepada siasatan, sebaliknya sistem integriti dan tatakelola pasukan keselamatan itu sedang dirombak untuk menutup segala ruang salah guna kuasa.

Menjawab kebimbangan berhubung kewibawaan ATM di Dewan Rakyat pada 24 Februari, beliau menjelaskan bahawa krisis dalaman yang berlaku sama sekali tidak menjejaskan fungsi utama pertahanan negara.

“Walaupun proses pembersihan sedang berlaku, kesiapsiagaan operasi terutamanya di kawasan strategik negara kekal pada tahap tertinggi. Moral anggota tentera dan kebajikan keluarga sentiasa menjadi keutamaan serta sistem perintah dan kawalan (C2) ATM kekal utuh, teguh dan berfungsi dengan penuh professionalisme,” tegas beliau.

Kenyataan tersebut dibuat bagi menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor yang menuntut penjelasan MINDEF mengenai pelan kawalan kerosakan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada ATM selaku benteng kedaulatan negara.

Menurut Mohamed Khaled, pendirian untuk memmbersihkan nama baik ATM bukanlah reaksi mengejut, sebaliknya telah ditekankan secara konsisten sejak Perutusan Tahun Baharu 2026 dan Sesi Penerangan Menteri Pertahanan di Parlimen pada 28 Januari lalu.

Menyentuh aspek kepimpinan, beliau menyatakan bahawa pertukaran pucuk pimpinan menerusi pelantikan Panglima Angkatan Tentera Darat ke-31 baru-baru ini adalah bukti jelas jentera pertahanan terus bergerak ke hadapan tanpa sebarang kompromi terhadap aspek kedaulatan.

Bagi mengelakkan insiden jenayah kolar putih berskala besar ini berulang, ATM kini menguatkuasakan Pelan Pembanterasan Rasuah ATM 2025 hingga 2029 sepenuhnya.

Arahan pembaikan ini turut disokong menerusi Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-24 yang menuntut reformasi institusi secara menyeluruh, melibatkan perubahan besar pada struktur, sistem kerja dan budaya organisasi.

Antara mekanisme kawalan tegas yang mula dilaksanakan termasuk kewajipan pengisytiharan harta secara telus dalam kalangan anggota. Bagi mengelakkan pembentukan ‘kartel’ atau monopoli kuasa, pusingan penempatan kerja secara berkala diwajibkan bagi jawatan berisiko tinggi dengan mengehadkan tempoh perkhidmatan maksimum kepada 18 bulan sahaja.

Bagi menggalakkan budaya ketelusan dari dalam, kementerian memberi jaminan perlindungan penuh kepada pemberi maklumat yang berani tampil melaporkan sebarang bentuk kepincangan.

Tindakan tatatertib dan perundangan yang keras akan diambil tanpa mengira tahap pangkat atau kedudukan individu yang terlibat. Proses pemulihan ini disusuli dengan pembinaan mental dan kerohanian Islam secara menyeluruh, di samping penerapan pendidikan moral dan etika ketenteraan yang ketat. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply