KUALA LUMPUR, 24 FEB – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan reformasi institusi secara menyeluruh yang melibatkan perubahan struktur, sistem dan budaya organisasi.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, langkah ini bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan serta integriti pertahanan negara.
“Reformasi ini akan berpaksikan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-24 yang menekankan pembinaan warga berakhlak tinggi,” katanya di Dewan Negara, semalam.
Menurut Adly, usaha tersebut turut merangkumi pengukuhan aspek mental, kerohanian serta pendidikan moral bagi memastikan integriti lahir daripada kesedaran dalaman anggota.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai langkah reformasi besar yang dilaksanakan oleh ATM bagi meningkatkan integriti pertahanan negara.
Bagi menyokong hasrat tersebut, peranan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) diperkukuh dengan meletakkannya secara langsung di bawah naungan Panglima Angkatan Tentera. Perubahan struktur ini bertujuan memastikan fungsi nasihat dan pembinaan disiplin rohani menjadi asas utama profesionalisme tentera negara.
Selain itu, ATM turut memperkasakan Pelan Pembanterasan Rasuah ATM 2025–2029 dengan fokus kepada aspek perolehan serta pengurusan kewangan menerusi mekanisme semak dan imbang.
“Pihak kementerian juga melaksanakan pusingan penempatan bagi jawatan berisiko tinggi untuk mengelakkan konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa,
“Sistem pengurusan aduan turut diperkemas dengan jaminan perlindungan kepada pemberi maklumat, manakala tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas tanpa mengira pangkat,” jelas beliau.
Semua pelaporan aktiviti berkaitan akan dipantau melalui Sistem Pengurusan Integriti Agensi (AIMS) SPRM dan Jawatankuasa Tatakelola ATM bagi memastikan tiada ruang kepada pelanggaran amanah dalam organisasi pertahanan negara. – airtimes.my
