Perutusan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Dato’ Azhan Hj Md Othman di Dataran Parawood, Kem Terendak membawa makna yang jauh melangkaui adat dan istiadat ketenteraan.
Ia hadir sebagai penanda aras kepimpinan baharu yang bukan sahaja menetapkan hala tuju strategik Tentera Darat Malaysia (TDM), malah menzahirkan komitmen tegas terhadap nilai, integriti dan tanggungjawab institusi pertahanan negara dalam mendepani cabaran.
Perbarisan melibatkan seramai 240 pegawai dan 2,160 anggota dengan penyertaan elemen daripada 10 Briged (Para), 21 Grup Gerak Khas serta 3 Divisyen, jelas memperlihatkan kesiapsiagaan, disiplin dan kesatuan warga TDM.
Kehadiran kekuatan ini bukan sekadar simbol keupayaan tempur, tetapi lambang kebersamaan dan semangat setia kawan yang menjadi teras ketahanan sesebuah angkatan.
Sebagai wadah amanat kepimpinan, Perintah Ulung berfungsi menyampaikan aspirasi, falsafah dan prinsip yang wajib dihayati oleh seluruh warga TDM.
Ia mengingatkan bahawa tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara bukan sahaja bergantung kepada kekuatan fizikal dan teknologi, tetapi juga kepada kekuatan moral, disiplin diri dan kesetiaan kepada amanah negara.
Apa yang menarik atau menjadi tumpuan dalam Perintah Ulung tersebut adalah penekanan terhadap peribahasa ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’ yang ditegaskan PTD.
Peribahasa in bunyinya ringkas tetapi mempunyai maksud mendalam.
Ia mencerminkan kebimbangan realistik terhadap kesan satu kesalahan kecil yang boleh mencemarkan reputasi sebuah institusi besar.
Peribahasa ini menjadi kiasan tepat kepada situasi semasa apabila isu-isu berkaitan salah guna kuasa, rasuah dan pelanggaran integriti yang melibatkan dakwaan terhadap bekas kepimpinan tertentu telah menarik perhatian rakyat serta mencetuskan perdebatan awam.
Namun, analisis yang adil menuntut kefahaman bahawa susu sebelanga itu sebenarnya tidak musnah sepenuhnya hanya kerana nila setitik.
Ribuan pegawai dan anggota TDM yang setia, berintegriti dan berkhidmat dengan penuh pengorbanan tidak wajar dipalit dengan kesalahan individu tertentu.
Ia bukan sahaja tidak adil, malah berpotensi melemahkan moral dan keyakinan terhadap angkatan yang menjadi benteng pertahanan negara.
Kerosakan reputasi sememangnya membawa kesan mendalam, namun ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dipulihkan.
Proses pemulihan menuntut keberanian untuk mengakui kelemahan, kesediaan untuk bertindak tegas terhadap pihak yang bersalah, serta komitmen berterusan bagi membina semula kepercayaan melalui kepimpinan berasaskan teladan.
Walaupun mengambil masa, keikhlasan dan ketegasan dalam tindakan mampu menghalang kerosakan daripada terus merebak dan memelihara maruah institusi.
Dalam konteks ini, keadilan perlu ditegakkan tanpa kompromi.
Hanya mereka yang benar-benar bersalah wajar dihukum, manakala para jeneral, pegawai serta anggota yang tidak terlibat tidak seharusnya menjadi mangsa fitnah atau penilaian tanpa asas.
TDM kekal berpegang kepada misi, visi serta rukun dan amanah negara, dan tidak akan tunduk kepada tekanan persepsi yang tidak berpaksikan fakta.
Semangat juang dan kesetiaan kepada negara harus terus menjadi nadi perjuangan.
Pendedahan terhadap salah laku, walaupun pahit, turut membawa hikmah tersendiri.
Jika dibiarkan berlarutan, ia berpotensi menjadi barah yang merosakkan institusi dari dalam.
Ketelusan membuka ruang kepada pembetulan sistem, memastikan peruntukan negara digunakan secara berhemah dan benar-benar dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan pertahanan serta kebajikan anggota yang mempertaruhkan nyawa di medan tugas.
Usaha pembersihan dalaman perlu dilaksanakan secara berterusan dan berprinsip.
Individu atau kelompok yang mencemarkan imej dan integriti Angkatan Tentera Malaysia, khususnya mereka yang mengkhianati amanah, tidak seharusnya terus diberi ruang.
Ketegasan dalam hal ini bukan bertujuan menghukum secara membuta tuli, tetapi demi memelihara keutuhan dan kredibiliti institusi pertahanan negara.
Akhirnya, kekuatan TDM tidak hanya bergantung kepada persenjataan dan latihan, tetapi juga kepada kepercayaan rakyat.
Sokongan dan kesatuan rakyat amat penting dalam memastikan moral dan semangat anggota terus terpelihara.
Perutusan Perintah Ulung ini menjadi peringatan bahawa TDM sedang melangkah ke hadapan.
Ia menyusun langkah dengan tekad untuk menjernihkan integriti, memperkukuh kepercayaan dan memastikan angkatan masa hadapan kekal gagah, berwibawa serta bermaruah.
Ingat, susu sebelanga tidak rosak sepenuhnya dek nila setitik.-airtimes.my
