Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia tolak tuntutan berlebihan ‘Peta 9-Garis’ oleh China

Malaysia tolak tuntutan berlebihan ‘Peta 9-Garis’ oleh China

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 6 FEB – Kerajaan Malaysia menegaskan pendirian untuk terus menolak sebarang dakwaan tuntutan berlebihan (excessive claims) oleh pihak luar di Laut China Selatan yang tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Lukanisman Awang Sauni berkata, Malaysia kekal berpegang teguh kepada Peta Baru Malaysia 1979 dalam mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan, dan kepentingan negara di kawasan maritim tersebut.

“Malaysia tegas menolak dakwaan Republik Rakyat China (RRC) berdasarkan ‘Peta 9-Garis’ (Nine Dash Line) atau mana-mana peta yang diterbitkan oleh kerajaan tersebut yang meliputi kawasan maritim Malaysia,” katanya semasa sesi Penggulungan Perbahasan Usul Titah Diraja 2026 di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjelaskan bahawa segala aktiviti ekonomi di zon maritim negara, termasuk aktiviti perikanan serta eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon, adalah hak mutlak Malaysia mengikut Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982).

Mengulas mengenai isu keselamatan di gugusan Beting Patinggi Ali, beliau menegaskan bahawa aset keselamatan negara sentiasa mempamerkan kehadiran (show of presence) melalui rondaan berkala oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Kerajaan secara konsisten akan mengemukakan Nota Bantahan Diplomatik sekiranya aset asing didapati menceroboh perairan negara. Ini merupakan saluran komunikasi rasmi tahap tertinggi bagi memastikan kedaulatan kita terus terpelihara,” tegasnya lagi.

Dalam masa yang sama, Malaysia yang kini bertindak sebagai Negara Penyelaras hubungan dialog ASEAN-China, komited mempergiatkan rundingan Kod Tatakelakuan di Laut China Selatan (Code of Conduct in the South China Sea – COC).

Menurutnya, COC berfungsi sebagai kod tatacara untuk mengelak konflik dan ketegangan tanpa menjejaskan tuntutan wilayah mana-mana negara, dengan sasaran untuk memuktamadkan dokumen yang substantif serta efektif pada tahun ini.-airtimes.my

KATA KUNCI : APMMDewan RakyatLaut China SelatanPertahanan KeselamatanTLDM

Leave a Reply