KUALA LUMPUR, 22 JAN – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menetapkan dasar mewajibkan semua aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) aset pertahanan dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat Malaysia.
Langkah ini bertujuan menamatkan kebergantungan kepada pengeluar peralatan asli (OEM) luar negara dalam urusan penyelenggaraan aset ketenteraan nasional.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penglibatan syarikat OEM asing selepas ini hanya dibenarkan bagi tempoh waranti sahaja. Kebiasaannya tempoh tersebut merangkumi masa antara satu hingga dua tahun.
“Selepas tempoh waranti, semua mesti dikendalikan oleh syarikat Malaysia. Ini antara dasar yang kita jadikan asas permulaan untuk bangunkan industri pertahanan tempatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamed Khaled mendedahkan, sehingga kini terdapat 15 aktiviti MRO yang masih dikendalikan oleh OEM syarikat luar negara. Beliau menegaskan sudah tiba masanya syarikat tempatan mengambil alih peranan tersebut.
Selain isu MRO, kementerian turut menetapkan syarat setiap perolehan produk atau aset pertahanan mesti mempunyai 30 peratus komponen tempatan. Syarat ini wajib dipatuhi oleh mana-mana syarikat yang ingin menyertai tender perolehan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dato’ Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN – Tanah Merah) berhubung pembangunan industri pertahanan tempatan serta keberkesanan Program Kolaborasi Industri (ICP).
Pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan semalam menjadi rangka kerja utama bagi memastikan ekosistem pertahanan negara lebih berdaulat serta mandiri. – airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #MINDEF #DIPN #MRO #ParlimenMalaysia
