KUALA LUMPUR, 22 JAN – Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Seri Khlir Mohd Nor menegaskan bahawa latihan dan doktrin ketenteraan sentiasa mendidik anggota supaya menghormati pemimpin dan organisasi.
Justeru masyarakat tidak wajar menghukum keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya disebabkan kesalahan segelintir individu.
Berucap membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, Khlir mengakui wujud salah laku melibatkan rasuah dan ketirisan integriti dalam kalangan anggota, termasuk di peringkat tertinggi, namun ia tidak mencerminkan budaya sebenar pasukan keselamatan itu.
Beliau yang berpengalaman selama 40 tahun dalam perkhidmatan menegaskan bahawa sistem ketenteraan menerapkan nilai hormat yang tinggi kepada orang tua, organisasi, dan pemerintah, serta melarang keras penderhakaan.
“Askar ni dia didik kita baik. Hormat orang tua, hormat organisasi, hormat pemimpin. Jangan derhaka pada pemimpin, jangan derhaka pada pemerintah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kewujudan “segelintir” pihak yang mencemarkan nama baik pasukan, namun merayu agar warga ATM yang lain tidak disamakan dengan kelompok tersebut.
“Tetapi tidak semua. Segelintir sahaja. Jadi janganlah… tolonglah jangan samakan ATM ni dengan segelintir yang ‘buat tahi’ tadi tu,” tegasnya.
Khlir turut memohon maaf kepada Dewan atas penggunaan bahasa kasar tersebut namun menegaskan bahawa tindakan segelintir individu yang telah mencemar maruah imej ATM.
Dalam pada itu, Khlir turut menegaskan budaya ’Yeye’ bukan budaya tentera, sebaliknya disifatkan sebagai budaya budak-budak nakal.
“Orang sebut ‘Yeye’, ‘Yeye’ tu. Minta maaf, itu bukan budaya tentera. Tak ada. Bukan budaya. Ini budak-budak nakal. Dan saya harap pemerintah-pemerintah buat satu arahan, stop aktiviti budaya ni kerana memalukan,” katanya.
Belum sempat beliau menyambung hujah, salah seorang ahli parlimen yang hadir bertanyakan sama ada budaya Yeye berlaku pada zaman Khlir berkhidmat.
“Kalau berlaku saya dah tampar dia. Tak ada. Dengan saya tak boleh main-main. Saya tak suka maksiat,” jawab Khlir. –airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #ATM #ParlimenMalaysia #DewanRakyat
