Home Pertahanan dan Keselamatan Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama

Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 20 JANUARI –  Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama yang baharu.

Beliau menggantikan Leftenan Jeneral Dato’ Zahani Zainal Abidin TUDM yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif Malaysia Institute of Defence and Security (MiDAS).

Sementara itu, Ketua Eksekutif MiDAS sebelum ini, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Haji Muhammad Huzaimi Sabri dilantik sebagai Ketua Staf Markas ATM.

Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad pula dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral dan dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat.

Pertukaran dan pelantikan jawatan baharu ini telah disahkan oleh pihak Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan pegawai-pegawai kanan tersebut pada 18 Januari lalu.

“Ia bagi mengisi beberapa jawatan utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), setelah menimbang syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri Ke-632 yang bersidang pada 7 Januari 2026,

“Pelantikan ini melibatkan empat jawatan utama ATM, iaitu Ketua Staf Markas ATM, Panglima Angkatan Bersama, Timbalan Panglima Tentera Darat, dan Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS),

“Kesemua pelantikan ini berkuat kuasa pada 1 Januari 2026,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang bersih merupakan teras utama kepimpinan ATM serta ekosistem pertahanan negara.

“Dalam konteks ini, kepimpinan utama ATM bukan sahaja bertanggungjawab memastikan kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi, malah memikul amanah untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara, tanpa kompromi,

“Barisan kepimpinan baharu ini diyakini mampu memikul harapan besar ini serta berkeupayaan memberikan khidmat dengan penuh wibawa, integriti dan profesionalisme,” kata kenyataan itu. – airtimes.my

#AirTimes #PertahananKeselamatan #ATM #MINDEF #TDM #Malaysia

KATA KUNCI : Air Times News NetworkAngkatan Tentera Malaysia (ATM)MalaysiaMINDEFPertahanan Keselamatan

Leave a Reply