Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan jamin kebajikan perubatan veteran ATM – Adly Zahari

Kementerian Pertahanan jamin kebajikan perubatan veteran ATM – Adly Zahari

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 5 FEB – Kementerian Pertahanan menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan semua veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sama ada berpencen atau tidak berpencen, menerima kemudahan perubatan yang sempurna.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pemberian kemudahan ini tidak tertakluk kepada tempoh perkhidmatan, sebaliknya berdasarkan kategori veteran.

Jelasnya, kemudahan perubatan bagi veteran tidak berpencen mula dilaksanakan sejak 2005 melalui peruntukan Kementerian Pertahanan yang diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.

“Matlamat JHEV adalah menyediakan pusat khidmat setempat bagi warga veteran termasuk aspek penyaluran kemudahan perubatan yang diperlukan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dato’ Khir bin Mohd Nor (PN-Ketereh) yang meminta penjelasan mengenai perbezaan saluran kelulusan rawatan antara veteran yang berkhidmat kurang 10 tahun dan veteran yang berkhidmat melebihi 10 tahun.

Mengulas lanjut mengenai statistik bantuan, Adly memaklumkan sebanyak RM39 juta telah dibelanjakan pada tahun lalu bagi perkhidmatan kesihatan yang melibatkan 8,427 veteran tidak berpencen.

Manakala bagi veteran berpencen, seramai 18,554 individu telah menerima manfaat kesihatan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan nilai mencecah RM74 juta.

Selain bantuan perubatan, kementerian turut menyalurkan peruntukan besar bagi bantuan sara hidup (BSH).

“Daripada RM300 juta peruntukan, hampir RM290 juta diberikan dalam bentuk perkhidmatan kebajikan dan BSH kepada anggota veteran, termasuk bantuan RM500 sebulan kepada yang layak,” tambahnya lagi bagi menjawab soalan tambahan daripada Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading).

Terdahulu, Khir turut membangkitkan isu kelewatan perkhidmatan di hospital tentera dan mencadangkan agar proses fasilitasi bagi veteran dipermudahkan bagi mengelakkan penantian yang terlalu lama.

Menyentuh isu tersebut, Adly menyatakan pihaknya sentiasa bekerjasama erat dengan KKM bagi memastikan penyelarasan perkhidmatan dapat dilakukan dengan terbaik demi menjaga kebajikan wira-wira negara.-airtimes.my

KATA KUNCI : Adly Zahari (Timbalan MENHAN)Kementerian Pertahanan (MINDEF)Parlimen MalaysiaPertahanan KeselamatanVeteran ATM

Leave a Reply