KUALA LUMPUR, 3 FEB – Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Pelantikan Panglima Angkatan Tentera ke-24 kepada Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Wisma Pertahanan.
Pelantikan tersebut menyaksikan Malek Razak secara rasmi mengambil alih kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia selepas sebelum ini berkhidmat sebagai Panglima Medan Barat Tentera Darat.
Majlis berkenaan menjadi simbolik penyerahan amanah dan tanggungjawab dalam menerajui ATM bagi memastikan kesiapsiagaan pertahanan negara terus diperkukuh dalam persekitaran keselamatan yang semakin mencabar.
Beliau dilantik bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang telah bersara wajib pada Ogos tahun ini, namun telah bercuti pada 1 Januari lalu.
Malek Razak dilahirkan di Batu Pahat, Johor dan memulakan kerjaya ketenteraan sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di United Kingdom sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 11 Disember 1987.
Dengan hampir 40 tahun pengalaman dalam perkhidmatan, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Platun di Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja serta beberapa jawatan pemerintah dan staf di peringkat formasi dan markas sebelum pelantikan terakhir sebagai Panglima Medan Barat Tentera Darat.
Majlis pelantikan ini turut dihadiri Pemangku Panglima Angkatan Tentera merangkap Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera Siri Ke-633 Khas yang bersidang pada 29 Januari 2026 telah mensyorkan pelantikan ini sebelum mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2026. – airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #MINDEF #ATM #Malaysia
