KUALA LUMPUR, 6 FEB – Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah merangka pelan penggantian secara berperingkat bagi memperkasakan keupayaan peluru berpandu anti-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Langkah ini melibatkan penilaian platform peluru berpandu generasi baharu bagi menggantikan aset sedia ada yang telah usang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa pemilihan tersebut merangkumi peluru berpandu jenis Naval Strike Missile (NSM). Aset baharu ini mempunyai keupayaan jarak lebih jauh, kebolehhindaran radar yang lebih tinggi serta integrasi rangkaian sensor moden.
Beliau turut memaklumkan bahawa TLDM bakal mula mengoperasikan dua jenis peluru berpandu permukaan ke permukaan (Surface to Surface Missile – SSM) bermula pada tahun ini.
“Pihak TLDM juga akan mengoperasikan 2 jenis surface to surface missile (SSM) iaitu Naval Strike Missile (NSM) dari Norway yang akan diterima pada Mac 2026.”
“Manakala misil ATMACA dari Turkiye pula sedang dalam proses perolehan dan dijangka diterima pada tahun 2028”, katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, semalam.
Kenyataan tersebut bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz mengenai rancangan penggantian peluru berpandu jenis Exocet MM40 Blok II milik TLDM. Ikmal Hisham sebelum itu membangkitkan kegusaran terhadap penggunaan misil usang berusia 29 tahun itu yang dianggap tidak lagi relevan.
Pendekatan berperingkat ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memodenkan aset TLDM secara realistik tanpa mengetepikan kemampuan fiskal semasa negara. Usaha ini penting bagi memastikan kedaulatan perairan negara terus terpelihara dengan sokongan sistem persenjataan yang lebih jitu. – airtimes.my
