Home Diskusi Kolumnis: Kehilangan sumber manusia dalam nahas udara kerugian tidak ternilai kepada ATM

Kolumnis: Kehilangan sumber manusia dalam nahas udara kerugian tidak ternilai kepada ATM

by Zaki Salleh

Setiap kali berlakunya nahas udara, perkara utama yang menjadi perhatian ialah kehilangan wira-wira yang tiada galang ganti.

Kehilangan nilai sumber manusia dalam nahas sangat besar dan tidak dapat diukur dengan wang ringgit.

Ini kerana mereka ialah sumber tenaga kritikal yang juga menjadi tunjang utama pertahanan negara.

Dalam nahas dua helikopter TLDM di Pangkalan Lumut pagi semalam, dua pegawai memerintah (CO) Skuadron Helikopter TLDM antara 10 yang terkorban.

Mereka ialah CO Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli dan Kdr Muhamad Amir Mohamad (CO Skuadron 502).

Kedua-duanya merupakan tunjang utama skuadron yang mana tugas digalas penting menyaksikan tanggungjawab berkenaan diberikan kepada mereka yang berkelayakan.

Dua berpangkat Leftenan Komander, Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin dan Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi dan seorang Leftenan, Sivasutan a/l Thanjappan.

Mangsa lain ialah tiga Pegawai Waran II iaitu TLR Muhammad Faisol Tamadun; TNL Noorfarahimi Mohd Saedy dan TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi serta BM TNL Noor Rahiza Anuar dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

Semasa nahas, helikopter AS555SN Fennec dinaiki tiga kru manakala Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 tujuh.

Skuadron 503 menghantar 2 buah pesawat HOM AW139 bersama 9 kru udara dan 11 juruteknik pesawat ke Lumut untuk menyertai lintas hormat  sempena perbarisan tersebut.

Helikopter ini juga akan terlibat melakukan demonstrasi udara pada Hari Terbuka Armada nanti.

Ini juga merupakan nahas udara kedua melibatkan pesawat TLDM sepanjang lebih 30 tahun penubuhan Skuadron Udara TLDM iaitu KD Rajawali.

Yang pertama pada Jun 2021, sebuah helikopter AS555SN Fennec terpaksa melakukan pendaratan cemas ketika membuat penerbangan operasi di dalam Pangkalan TLDM Lumut, namun tiada mangsa terlibat.

Nahas udara paling tragis dalam sejarah ketenteraan negara ialah melibatkan dua buah helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di muara Sungai Lundu, Sarawak pada 18 Disember 1989.

Seramai 16 terkorban termasuk Mej Jen Dato’ Mustaffa Awang yang merupakan Panglima 1 Divisyen dan Brig Jen Dato’ Hasbullah Hj. Yusof yang pada ketika itu adalah Panglima 3 Briged.

Pegawai kanan lain ialah Pegawai Memerintah 5 RRD, Lt Kol Hj. Mohd. Johari Selan; Lt Kol Tunku Abdul Aziz Tunku Osman (13 RAMD) dan Pegawai Staf 1 Operasi, 1 Divisyen, Lt Kol Mustaffa Kamal Mohd Yusof.

Pesawat ini dalam penerbangan dari Pangkalan TUDM Kuching ke Kem Sematan untuk menghadiri majlis penutup Kursus Risik Tempur.

Sebaik helikopter terputus hubungan, TUDM ketika itu telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan dua helikopter Alouette.

Ekoran nahas, rombakan besar-besaran telah dilakukan dalam struktur organisasi Tentera Darat berikutan kehilangan dua pegawai tertinggi iaitu

Mustaffa dan Hasbullah.

Selaku panglima dua bintang, Mustaffa ketika itu disebut-sebut mempunyai peluang untuk melangkah lebih jauh dalam hirarki Tentera Darat.

Begitu juga Hasbullah, sebelumnya merupakan Panglima 21 Gerup Gerak Khas yang ketiga dikatakan antara jeneral muda yang mempunyai potensi cerah.

Kehilangan dua pegawai atasan Tentera Darat bersama lain-lain pegawai dan anggota dalam penerbangan ini tiada galang ganti.

Walaupun telah berlaku 35 tahun lalu, namun duka diatas kejadian tersebut masih dirasai hingga kini bukan sahaja kepada para waris tetapi juga rakyat Malaysia.

Ini kerana negara kehilangan wira-wira yang gugur semasa dalam tugas di perbatasan.

Selepas 18 tahun, sekali lagi nahas membabitkan helikopter Nuri berlaku apabila pesawat terjunam di hutan Gunung Bunga Buah tidak jauh dari terowong Genting Sempah, Pahang.

Insiden 13 Julai 2007 itu mengorbankan enam kru dan juruterbang TUDM.

Mereka ialah juruterbang, Kapten Nor Azlan Termuzi; pembantu juruterbang Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof; Sarjan Khusnizam Ariffin; Sarjan Mohd Azmie Md Yassin; Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad.

Operasi SAR berdepan kesukaran kerana kedudukan pesawat yang tidak dapat dikesan disebabkan jatuh di kawasan gaung terpencil.

 

Sesungguhnya, rakyat dan negara berduka pada setiap kali insiden nahas helikopter berlaku yang mengorbankan wira-wira.

#AirTimes #Kolumnis #TLDM

Related Articles

Leave a Reply