Home Diskusi Kolumnis: Kerajaan ambil alih projek LCS, apa hukuman pada kontraktor lalu gagal siapkan kapal?

Kolumnis: Kerajaan ambil alih projek LCS, apa hukuman pada kontraktor lalu gagal siapkan kapal?

by Zaki Salleh

Dalam tempoh dua tahun lagi dijangkakan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang pertama, KD Maharaja Lela siap.

Ini yang dijanjikan kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (Mindef) sepertimana yang ditegaskan sejak dua tahun lalu walaupun perkembangan projek perlahan.

Sejak skandal projek LCS didedahkan oleh kerajaan sendiri semasa tahun 2019, isu ini telah diperdebatkan banyak pihak sama ada yang pro atau kontra.

Projek LCS tetap diselamatkan apabila kerajaan memuktamadkan untuk mengambil alih projek keseluruhan.

Dalam bahasa mudah, Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd atau LUNAS iaitu entiti baharu Boustead Naval Shipyard (BNS) diambil alih oleh kerajaan melalui Ocean Sunshine Bhd (OSB) iaitu syarikat milik Menteri Kewangan Inc (MOF Inc).

Boustead Heavy Industries Corporation Bhd. (BHIC) mencadangkan untuk melupuskan 27,000,001 saham biasa dalam Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS) kepada OSB.

Saham itu adalah milik Perstim Industries Sdn. Bhd. (PISB), iaitu anak syarikat milik penuh tidak langsung BHIC yang ditawarkan pada harga RM334.73 juta.

Pengambil alihan saham ini adalah sebahagian daripada penstrukturan semula bagi memastikan LUNAS dapat menyiapkan pembinaan dan penghantaran LCS kepada TLDM dalam tempoh masa yang dipersetujui.

Ia seperti yang ditetapkan dalam kontrak LCS.

BNS sebagai pembina LCS sebelum ini menanggung liabiliti kira-kira RM848.45 juta yang perlu dibayar kepada pelbagai pihak.

Ini tidak termasuk liabiliti lain LUNAS dianggarkan lebih RM300 juta yang mana jika dicampur kesemuanya jumlah yang perlu ditanggung untuk mengambil alih LUNAS daripada BNS adalah lebih RM1  bilion.

Pada Januari lalu, OSB memaklumkan memerlukan RM190.15 juta untuk membiayai modal kerja kontraktor LCS kepada LUNAS menerusi terbitan saham.

Kos projek LCS ketika ini adalah RM11.2 bilion, daripada jumlah itu sebanyak RM1 bilion telah digunakan oleh BNS untuk membayar hutang lama serta menaik taraf kemudahan di limbungan.

Fakta ini telah didedahkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya.

Malangnya, sehingga tahun lalu belum ada sebuah kapal diserahkan kepada TLDM, malah jumlah LCS dikurangkan daripada 6 kepada hanya 5.

Lebih RM6 bilion daripada siling RM9 bilion peruntukan projek LCS telah dibayar kepada BNS oleh kerajaan.

Menyelamatkan projek LCS bermakna masalah yang berlaku selama ini dan pada masa akan datang akan dipikul sepenuhnya oleh kerajaan.

Persoalan yang sering ditimbulkan umum ketika ini ialah adakah kos projek LCS tidak akan meningkat atau mungkinkah ada kos-kos lain yang bakal timbul kemudian?

Jika berlaku kos tambahan bermakna pemilik baharu LUNAS iaitu kerajaan akan menanggungnya.

Pada pihak yang melihat daripada perspektif positif, projek LCS penting kepada Malaysia.

kerana ia adalah aset strategik untuk negara.

Projek LCS juga peluang kepada tenaga kerja tempatan meningkatkan kepakaran memandangkan Malaysia dikenali sebagai berkemahiran dalam industri selenggaraan maritim.

Pada perspektif pihak lain pula, kos berbilion ringgit yang ditanggung kerajaan menyelamatkan projek LCS yang bermasalah adalah merugikan.

Apa pula hukuman pada kontraktor lalu yang gagal siapkan kapal? – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #kolumnis #LCS

Related Articles

Leave a Reply