Home Diskusi Kolumnis: Sebenarnya tiada perolehan aset utama semasa DSA 2024

Kolumnis: Sebenarnya tiada perolehan aset utama semasa DSA 2024

by Zaki Salleh

Seperti dijangka, tiada perolehan besar diumumkan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 melainkan kontrak yang telah pun diketahui sebelumnya.

Walaupun ada yang mengandaikan kemungkinan kontrak besar melibatkan penerimaan aset baharu kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khusus Tentera Darat, tapi ia tidak berlaku.

Justeru, ini memberi gambaran masih belum ada kata putus mengenainya terutama kontrak pembelian sistem artileri mudah gerak (SP howitzer) walaupun calon akhir telah ada.

Perolehan sistem SP sebelum ini disebut banyak pihak akan dimuktamadkan semasa DSA 2024 dengan calon utama ialah Nexter Caesar manakala pesaingnya EVA buatan Slovakia.

Begitu juga dengan perolehan kapal misi pesisir (LMS) apabila ia tidak termasuk dalam kontrak yang dimeterai pada DSA.

Ini kali kedua andaian untuk LMS dimeterai meleset selepas kali pertama pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi pada Mei tahun lalu.

Sehubungan itu, walaupun nilai keseluruhan kontrak sebanyak RM7.3 bilion diumumkan Kementerian Pertahanan (Mindef) tetapi sebahagian besarnya hanyalah bagi perkhidmatan selenggaraan dan lain-lain.

Ia membabitkan perjanjian persefahaman (MoU), Surat Setuju Terima (LOA), Surat Niat (LOI) dan Sistem Integriti Korporat Sijil Malaysia (CISM).

Kontrak Mindef melibatkan 40 syarikat yang terdiri daripada 17 LOA bernilai RM3.3 bilion, tujuh kontrak (RM1.9 bilion) dan empat LOI (RM1.83 bilion).

Turut dimeterai adalah 10 MoU bernilai RM280 juta dan dua CISM.

Daripada keseluruhan kontrak Mindef ini, hanya terdapat tujuh yang membabitkan kelengkapan dan persenjataan kepada ATM.

Syarikat Ketech Asia diberi kontrak membekalkan 18 unit sistem peluru berpandu antikereta kebal jarak sederhana (ATGW-MR) bernilai RM44 5 juta.

Perolehanan ATGW-MR telah pun diketahui sebelumnya yang mana ia bagi menggantikan

persenjataan sedia ada iaitu Metis-M yang dibeli pada tahun 2001.

Bagaimana pun, jumlah ini masih kecil untuk melengkapkan keperluan Tentera Darat.

Mindef memberi kontrak kepada Teguh Hiasan membekalkan peluru kaliber 30mm Armoured Piercing Fun Stabilizer Discarding Sabot Tracer (APFSDS-T) bernilai RM38.5.

Manakala Rimbun Emas Defence System  membekalkan bom mortar suaran kaliber 81mm sebanyak RM35.6 juta.

Syarikat Destini Prima pula menyelenggara dan membekalkan komponen alat ganti untuk alatan keselamatan peralatan bukan udara TUDM dan bekalan roket kaliber 70mm bernilai RM44.1 juta.

Dua kontrak seterusnya ialah perolehan dua pesawat rondaan maritim (MPA) Fasa 1 untuk TUDM bernilai RM855 juta kepada Leonardo Spa Strada dan RM846 juta bagi penyelenggaraan pesawat tempur Sukhoi SU-30MKM oleh Aerospace Technology Systems Corps (ATSC).

SMEO Sdn. Bhd. dan Colts Manufacturing LLC pula mendapat kontrak selama tiga tahun membekalkan peluru 5.56mm M193.

TUDM pula akan menggantikan sistem radar pengawasan dan sistem pengurusan trafik udara kepada sistem yang terkini.

Sistem ini diperlukan dalam memastikan pergerakan keselamatan pesawat dan aliran trafik udara secara lebih cepat dan teratur.

Kontrak penyelenggaraan Tentera Laut Diraja Malaysia pula melibatkan tiga buah kapal iaitu KD Jebat, KD Perak dan KD Baung serta beberapa aset lain seperti helikopter dan kapal selam.  – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply