Penantian panjang untuk melihat lonjakan keupayaan tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akhirnya dilihat semakin menemui noktah. Selepas bertahun-tahun berdepan pelbagai cabaran perolehan, perkembangan terkini memberi sinar baharu kepada kekuatan armada negara.
Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengesahkan pembelian sistem peluru berpandu bagi kapal-kapal perang terbaharu TLDM.
Perolehan ini dimeterai sempena DSA 2026 yang menjadi platform utama pengumuman kerjasama strategik pertahanan. Langkah tersebut melibatkan sistem peluru berpandu antikapal dan pertahanan udara kapal yang menjadi elemen kritikal dalam peperangan moden. Ia sekali gus menandakan perubahan signifikan terhadap keupayaan tempur permukaan TLDM.
Sebelum ini, isu kelewatan pemilihan sistem persenjataan terutama bagi kapal Littoral Combat Ship (LCS) sering menjadi perhatian. Malah, projek LCS yang mengambil masa sehingga 17 tahun menimbulkan pelbagai persoalan terhadap hala tuju pembangunan keupayaan maritim negara. Namun, keputusan terkini ini memberi gambaran jelas bahawa kerajaan kini lebih tegas dalam memastikan kapal yang dibina dilengkapi sistem tempur lengkap.
Perolehan melibatkan sistem K-SAAM daripada LIG Nex1, Korea (RM374.67) serta peluru berpandu ATMACA keluaran Roketsan dari Turkiye (RM369.2 juta) untuk kapal LMS Batch 2. Selain itu, surat hasrat turut diberikan kepada MBDA bagi sistem VL MICA untuk kapal LCS. Walaupun kos penuh bagi sistem tersebut masih dalam rundingan, langkah ini sudah cukup untuk menunjukkan komitmen kerajaan.
ATMACA merupakan misil anti permukaan yang dioperasikan oleh Tentera Laut Turkiye. Kapal kelas ADA, TCG KINALIADA telah berjaya melaksanakan penembakan misil ini pada Februari 2021. Apa yang lebih menarik adalah model TCG KINALIADA telah dipilih sebagai kapal LMS Kelompok 2 (LMS Batch 2) TLDM. Gambar: Kementerian Pertahanan Turkiye.
Secara keseluruhan, perolehan ini melibatkan nilai berbilion ringgit yang turut merangkumi kontrak lain berkaitan aset dan sokongan logistik.
Apa yang lebih penting, ia bakal memberikan TLDM keupayaan pertahanan berlapis yang sebelum ini terhad.
Dengan gabungan peluru berpandu anti kapal dan pertahanan udara, kapal TLDM tidak lagi sekadar platform rondaan tetapi mampu bertindak sebagai aset tempur sebenar. Ini bermakna tiga kapal LMS Batch 2 dan lima kapal LCS menjadikan lapan kapal perang TLDM bakal memiliki ‘taring’ yang digeruni. Keupayaan ini penting dalam memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara dalam persekitaran geopolitik yang semakin mencabar.
Justeru, langkah memperkukuh TLDM adalah selari dengan keperluan mempertahankan kedaulatan negara.
Menariknya, perolehan ini turut disokong melalui program Kerjasama Industri (ICP) yang memberi manfaat kepada industri tempatan. Syarikat seperti BHIC Submarine & Engineering Sdn Bhd dan limbungan tempatan lain turut terlibat dalam pemindahan teknologi. Melalui kerjasama ini, tenaga kerja tempatan akan dihantar ke limbungan di Turkiye untuk latihan pembinaan kapal.
Keperluan tempur armada TLDM merupakan antara aspek yang amat diperlukan dalam mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia. Keupayaan anti permukaan TLDM pada ketika ini digalas oleh misil EXOCET. Gambar: Air Times/Muaz
Inisiatif ini penting bagi memastikan keupayaan penyelenggaraan dapat dilakukan secara tempatan pada masa hadapan. Ia juga membuka ruang kepada pembangunan ekosistem industri pertahanan negara yang lebih mampan.
Dalam konteks lebih luas, keputusan ini mencerminkan perubahan pendekatan kerajaan daripada sekadar membeli aset kepada membina keupayaan menyeluruh. Namun begitu, cabaran sebenar adalah memastikan pelaksanaan perolehan berjalan lancar tanpa kelewatan seperti sebelum ini. Ketelusan, pemantauan rapi dan disiplin pelaksanaan menjadi kunci kejayaan projek ini.
Sekiranya semua berjalan seperti dirancang, TLDM bakal memasuki era baharu dengan keupayaan tempur yang jauh lebih kredibel. Penantian yang sekian lama akhirnya hampir berakhir dengan pembentukan armada yang benar-benar berkeupayaan tempur. Lonjakan kuasa TLDM kini bukan lagi sekadar perancangan di atas kertas, sebaliknya semakin menjadi realiti. – airtimes.my


