Home Diskusi Kolumnis: Apa berlaku seterusnya dalam konflik Iran – Israel, masalah di Gaza pula bagaimana?

Kolumnis: Apa berlaku seterusnya dalam konflik Iran – Israel, masalah di Gaza pula bagaimana?

by Zaki Salleh

Serangan dron Iran ke atas Israel kelmarin mengembalikan ingatan pada tindakan berani Iraq

33 tahun lalu semasa kempen udara Perang Teluk menyerang Tel Aviv.

Iraq di bawah Presiden Saddam Hussein pada ketika itu melancarkan serangan udara menggunakan peluru berpandu Scud.

Kira-kira 38 buah peluru berpandu Scud yang diubah suai dilancarkan ke Israel bermula 18 Januari hingga 28 Februari 1991.

Berbeza dengan serangan dron Iran, lebih 1,000 penduduk Tel Aviv tercedera dengan dua dilaporkan maut.

Ini kerana peluru berpandu Scud jatuh di kawasan yang berkepadatan tinggi.

Objektif strategik dan politik Iraq ketika itu adalah untuk mencetuskan tindak balas ketenteraan Israel dan berpotensi membahayakan pakatan pimpinan Amerika Syarikat (AS).

Semasa Perang Teluk juga, populariti peluru  berpandu Patriot meningkat naik apabila berjaya menjadi sistem pertahanan udara yang berkesan bagi Israel dan sekutu barat.

Justeru, melihat kepada situasi baharu dalam konflik di Asia Barat ini sukar untuk meramalkan apakah akan berlaku seterusnya.

Serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh Iran ke atas Israel telah meningkatkan ketegangan serantau.

Selepas 24 jam serangan dron Iran, belum ada tindak balas daripada Israel serta sekutunya AS, malah tiada lagi serangan susulan dari Tehran.

Tindakan ofensif Iran ini juga dilihat sebagai lain daripada kebiasaan kerana sepanjang empat dekad bermusuhan ia tidak pernah bertindak sedemikian.

Ini adalah kali pertama Iran melancarkan serangan dari dalam negaranya ke atas Israel berbanding menggunakan proksi sebelum ini.

Bagi pihak Israel, serangan udara Iran telah mempamerkan keberkesanan sistem pertahanan udara berlapis negara itu mengekang ancaman luar.

Sekali lagi teknologi sistem pertahanan negara itu mencipta nama.

Sistem Iron Dome bagi pertahanan udara dalam radius 70 kilometer (km), diikuti David Sling (150km) dan Arrow 3 (250km).

Ini tidak termasuk sistem pertahanan udara daripada pesawat-pesawat tempur selain bantuan pertahanan udara di laut dari negara sekutu, AS.

Biarpun keberkesanan serangan dron Iran turut dibahas kerana tidak melibatkan korban, pada sudut strategik Tehran telah mempamerkan kehebatan yang ada.

Kemampuan dron Iran dan peluru berpandu termasuk dron kamikaze terbang lebih 1,700km melepasi ruang udara Iraq dan Syria ke Israel disifatkan sebagai sangat hebat.

Sebenarnya, ancaman dron dari Iran telah diberikan perhatian oleh AS sejak tiga tahun lalu khususnya kebimbangan mereka terhadap puak militia yang disokong Iran.

Amaran Jeneral Marin Frank McKenzie, komander Pusat Centcom AS itu dibuat susulan serangan dron yang dilancarkan oleh proksi Iran dan kumpulan sekutu terhadap kedudukan pakatan dan rakan serantau AS.

Perkara tersebut dilihat oleh banyak pihak sebagai tanda peralihan dalam strategik keseimbangan kuasa.

Serangan dron ke atas pangkalan tentera AS di Lapangan Terbang Antarabangsa Irbil dalam wilayah autonomi Kurdistan menyebabkan kebakaran besar dan kerosakan.

Tiada siapa yang mahukan suhu konflik menjadi buruk, tetapi keputusan daripada kabinet perang  Netanyahu akan menjadi sangat penting dalam melihat apa yang akan berlaku seterusnya.

Tidak mustahil juga Netanyahu menggunakan kesempatan yang ada untuk mengembalikan imej pentadbirannya yang teruk dikecam rakyat sendiri ekoran kegagalan menghadapi serangan Hamas.

Ia merupakan tamparan besar kepada imej Israel sebagai kuasa tentera serantau dan menghancurkan sebarang rasa kebal.

Kira-kira 250 tebusan telah diculik oleh militan Hamas semasa serangan 7 Oktober ke atas Israel yang mencetuskan konflik.

Israel menganggarkan 130 individu, termasuk 33 yang dianggap mati masih dalam tahanan di Gaza.

Awal tahun ini, beribu-ribu rakyat Israel berkumpul di Baitulmaqdis menuntut peningkatan tindakan untuk membebaskan tawanan yang ditahan di Gaza dan penyingkiran Netanyahu.

Dunia memerhatikan perkembangan konflik Iran – Israel, namun pada masa sama jangan lupa isu kemanusiaan di Gaza masih gagal untuk diselesaikan. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Iran #TimurTengah #kolumnis

Related Articles

Leave a Reply