Bahang bagi perolehan pesawat tempur untuk meningkatkan kuasa udara di Asia Tenggara semakin dirasai apabila Thailand, Malaysia dan Filipina mengesahkan minat masing-masing.
Ini merupakan satu perkembangan yang positif sekali gus menunjukkan indikator bagi industri aeroangkasa.
Sama ada jadi atau tidak hasrat Malaysia untuk mendapatkan pesawat tempur Hornet terpakai milik Kuwait, umum mengharapkan agar ada berita baik tentangnya nanti.
Opsyen tersebut dilihat sebagai yang terbaik untuk dijadikan langkah sementara selain memenuhi kemampuan kocek negara dalam keadaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kekurangan pesawat.
Usia Hornet Kuwait lebih tua berbanding varian D milik TUDM, namun memiliki tambahan pesawat tempur ini setidak-tidaknya menambah jumlah yang ada.
Berdasarkan indikator semasa, rancangan TUDM untuk membeli pesawat terpakai Kuwait ini dijangka memasuki fasa seterusnya sebelum dinoktahkan.
Ini kerana tanpa lampu hijau Amerika Syarikat (AS) mustahil penjualan kelengkapan pertahanan boleh dilakukan walaupun alatan terpakai kepada negara ketiga.
Sebagai pengguna Hornet, penting bagi AS untuk terus menyokong TUDM bagi memastikan kemampuan dan pembangunan pesawat itu relevan sepanjang tempoh penggunaan.
Sepertimana AS, negara sahabat Australia pada tahun 2018 telah menyumbangkan alat ganti pesawat-pesawat F/A-18 Hornet miliknya kepada TUDM.
Australia menamatkan khidmat 40 pesawat Hornet varian A dan B apabila beralih kepada varian Super Hornet dan F-35A Lightning II.
Justeru, restu AS bagi perolehan ini adalah satu bentuk persefahaman pertahanan dengan Malaysia yang walaupun tidak nampak menonjol tapi merupakan sekutu rapat.
Sekiranya menjadi kenyataan, tambahan sekurang-kurangnya sebahagian daripada 34 pesawat Hornet Kuwait dapat menggandakan keupayaan TUDM walaupun dengan pesawat terpakai.
Negara jiran Thailand pula menghampiri noktah untuk memodenkan angkatan udaranya (RTAF) apabila memilih untuk mendapatkan pesawat tempur JAS 39 Gripen E/F.
Pesawat buatan Sweden itu menjadi pilihan berbanding pesaingnya, F-16 Block 70 buatan Amerika Syarikat.
Media negara tersebut memetik sumber dalaman tentera memaklumkan keputusan tersebut dibuat oleh Pemerintah tertinggi RTAF, Marsyal Udara Phanphakdee Phattanakul.
Dalam penjelasan beliau kepada Menteri Pertahanan, Sutin Klungsang dan Perdana Menteri, Srettha Thavisin, perbandingan terperinci diberikan mengenai kedua-dua pesawat.
Menarik tentang RTAF ialah ia merupakan pengguna kedua-dua pesawat F-16 dan JAS 39 Gripen serta faham selok-belok pesawat berkenaan.
Jadi, pasti ada kelebihan tersendiri pada Gripen pada RTAF berbanding F-16. Penggantian perlu dilakukan dalam masa beberapa tahun lagi yang bermakna keputusan perlu dibuat sekarang.
RTAF bercadang untuk menggantikan 12 buah pesawat F-16 yang digunakan sejak 1988 atas faktor usia serta kesesuaian operasi.
Sejak tiga tahun lalu, kedua-dua firma Saab dan Lockheed Martin giat melobi Thailand dengan masing-masing menawarkan pakej-pakej menarik termasuk kemudahan pembiayaan.
Dikatakan faktor kos meliputi faedah yang dikenakan menjadi kekangan pada Thailand untuk memilih F-16.
Thailand sebelum ini dikatakan kecewa dengan keputusan Washington apabila menghalang untuk memiliki pesawat generasi kelima, F-35 atas alasan tidak mempunyai keupayaan mencukupi.
Begitu juga Manila yang kini selangkah untuk membeli pesawat pejuang pelbagai peranan (MRF), Saab JAS-39 Gripen apabila memeterai perjanjian dengan Sweden.
Kedua-dua negara menandatangani perjanjian penting untuk menyokong rancangan perolehan pesawat tempur MRF untuk Tentera Udara Filipina (PAF).
Kerjasama logistik itu adalah sebahagian daripada komitmen kedua-dua negara susulan satu lagi kerjasama yang ditandatangani pada 3 Jun 2023.
Filipina memerlukan 12 buah pesawat MRF, tambah menarik tawaran Sweden ini termasuk pakej membeli pesawat pemerintahan dan radar amaran awal (AEW&C) jenis Erieye.
Walaupun AS membuat tawaran sama kepada Filipina, malah agresif menawarkan pakej F-16 terpakai tetapi Manila dilihat cenderung kepada Saab atas faktor kantung negara. – airtimes.my
#AirTimes #Hornet #FA18 #Kuwait