Home Semasa Malaysia dan Turkiye dua negara bersaudara rapat walaupun berjauhan kedudukan

Malaysia dan Turkiye dua negara bersaudara rapat walaupun berjauhan kedudukan

by M.Daim

PELABUHAN KLANG, 13 MEI – Kedudukan geografi yang jauh tidak menghalang persaudaraan erat antara Malaysia dan Turkiye.

Menurut Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salem Yuksel, hasrat untuk mempertingkatkan hubungan dua hala Ankara-Putrajaya  telah dipersetujui oleh pemimpin dari kedua-dua negara.

“Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim kedua-duanya telah bersepakat dalam mempertingkatkan hubungan antara kedua-dua negara bersaudara,

“Ini bagi mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan dan persahabatan Malaysia-Turkiye,” katanya semasa sidang media di atas kapal TCG KINALIADA, hari ini.

Emir Salem Yuksel menegaskan bahawa Malaysia merupakan negara yang penting kepada Turkiye.

Menurut beliau, hubungan Malaysia-Turkiye telah dipertingkatkan ke tahap rakan strategik pada tahun 2022.

“Peningkatan hubungan ini memberi makna bahawa Malaysia dan Turkiye akan terus memperluas dan melanjutkan hubungan kedua-dua negara sebaik mungkin dalam pelbagai bidang,

“Ini termasuk dalam bidang pendidikan, industri, teknologi pertahanan, sains dan lain-lain,” kata Duta Turkiye ke Malaysia yang menyatakan hubungan diplomatik Ankara-Putrajaya telah memasuki usia 60 tahun.

Beliau menambah, Malaysia merupakan negara rakan dagang rantau Asia Tenggara terbesar Turkiye.

TCG KINALIADA tiba di Malaysia pada 13 Mei 2024. Foto: Air Times/Ashraf

“Dari sudut ekonomi, jumlah dagangan antara Malaysia-Turkiye telah menghampiri nilai US$4.5 bilion,

“Malaysia merupakan negara rakan dagang utama Turkiye di rantau ASEAN,

“Ini menunjukkan hubungan rapat dan solidariti di antara kedua-dua negara,” jelasnya.

Terdahulu, Emir Salem Yuksel menyambut ketibaan kapal TCG KINALIADA di Cruise Terminal, Pelabuhan Klang.

Ketibaan kapal korvet kelas ADA itu ke Malaysia merupakan sebahagian daripada rangka pelayaran TCG KINALIADA ke Jepun.

Kapal tersebut berlabuh di Malaysia mulai 13 Mei sehingga 15 Mei 2024. TCG KINALIADA pada ketika ini sedang melaksanakan pelayaran ke Jepun. Pelayaran itu dilaksanakan bagi meraikan Ulangtahun ke-100 hubungan diplomatik Turkiye-Jepun. Selain itu, pelayaran ini juga memperingati peristiwa tenggelamnya kapal frigat Ertuğrul yang sedang melaksanakan misi diplomasi ke Negara Matahari Terbit pada tahun 1890.

Walaupun peristiwa ini telah lama berlalu, ia tetap diingati oleh kedua-dua negara.

Sepanjang pelayaran, TCG KINALIADA akan mengadakan lawatan ke 20 buah negara. Malaysia merupakan hentian ke-7 pelayaran kapal ini.

#AirTimes #Malaysia #Semasa #Turkiye #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply