Home Pertahanan dan Keselamatan Jambatan rekaan tempatan penuhi keperluan Tentera Darat

Jambatan rekaan tempatan penuhi keperluan Tentera Darat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Dua jambatan hasil rekaan dan pembangunan syarikat Stare Resources Sdn. Bhd. berjaya memenuhi keperluan semasa Tentera Darat Malaysia (TDM).

Pengarah Urusan Syarikat Stare Resources, Kapten (B) Ir Ts Azrul Affandhi Musthaffa Al Bakri berkata, pihaknya telah membekalkan jambatan tersebut kepada TDM untuk tujuan latihan dan operasi serta membantu pihak berkuasa awam ketika bencana alam.

“Untuk Logistic Support Bridge (LSB) kami telah bekalkan untuk Tentera Darat iaitu kepada unit Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) sebanyak 2 set, dimana 1 diletakan di 6 Skuadron RAJD Perlis dan 1 set lagi di 9 Skuadron RAJD di Melaka,

“Jambatan ini akan digunakan oleh askar jurutera untuk operasi dan latihan TDM. Jambatan ini juga boleh digunakan semasa bencana alam iaitu apabila terjadinya jambatan atau tanah runtuh yang memerlukan pemindahan jambatan sementara,” katanya.

Beliau ditemui Air Times di reruai Nadicorp Holding di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.

Syarikat Stare Resources merupakan syarikat tempatan yang bekerjasama dengan Nadicorp Holding dalam melaksanakan projek terutamanya mengenai jambatan.

Mengulas lanjut, sebagai pesara ATM, beliau turut berasa bangga kerana berjaya mendapatkan kontrak dengan pembekal LSB yang lepas atas kapasiti dan pengalaman sebagai askar jurutera.

“Contoh mcma LSB, saya sendiri terlibat untuk mereka bentuk, dengan memenuhi keperluan TDM yang memerlukan keperluan untuk menampung berat maksimum sehingga 110 tan,

“Apabila proses penerimaan, semua latihan dan proses akhir uji nilai dan diuruskan oleh syarikat Stare Resources yang mana kami mempunyai kaki tangan kebanyakannya adalah dari veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terutamanya RAJD,

“Pegawai dan bekas anggota RAJD mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan jambatan ini. Kita gunapakai segala pengalaman dan pengetahuan selepas bersara untuk fokus dalam bidang tersebut,” ujarnya lagi.

Pengarah Urusan Syarikat Stare Resources, Kapten (B) Ir Ts Azrul Affandhi Musthaffa Al Bakri berkata, pihaknya telah membekalkan jambatan tersebut kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk tujuan latihan dan operasi serta membantu pihak berkuasa awam ketika bencana alam. Foto: AirTimes/Pasri

Sementara itu, mengenai Still River Bridge (SRB) pula, beliau berkata, jambatan tersebut merupakan satu-satunya produk yang telah diuji nilai oleh TDM untuk digunakan sebagai jambatan taktikal.

“Jambatan ini mempunyai kapasiti loading yang tinggi sehingga mencapai 120 tan, di mana kita tahu kenderaan tentera semakin lama semakin berat dan besar, jadi kami telah sediakan ekses yang baik untuk masa hadapan,

“Jambatan ini juga boleh menyediakan laluan 2 hala, yang mana sangat penting ketika bencana alam yang memerlukan penggunaan jambatan sementara dalam tempoh yang lama,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau juga menjelaskan, penglibatan kali kedua dalam DSA ini, adalah sebagai satu medan yang baik dalam industri pertahanan.

“DSA ini adalah medan untuk semua penggiat industri pertahanan untuk menilai dan mengetahui dengan lebih lanjut setiap produk yang dipamerkan oleh syarikat masing-masing,” jelasnya lagi.

Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 melabuhkan tirainya secara rasmi pada Khamis lalu.

Majlis telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail.

Penganjuran pameran ini membuktikan kejayaan Kementerian Pertahanan (MINDEF) Malaysia dalam menerajui industri pertahanan negara yang semakin berkembang sebagai tunjang utama pembangunan negara.

Justeru, pameran ini berperanan sebagai hab penting bagi mendepani cabaran pertahanan yang kompleks meliputi kepelbagaian geopolitik masa kini menerusi sesi dialog dan perkongsian kepakaran.

Selain itu, perolehan ini juga bertujuan untuk memastikan kesiapsiagaan angkatan dan keupayaan anggota untuk melaksanakan tugas serta kewajiban menjaga pertahanan kedaulatan negara. -airtimes.my

#pertahanan #DSA #Stare #RAJD #jambatan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply