Home Pertahanan dan Keselamatan Pembinaan kapal LCS penuhi perancangan ditetapkan – Khaled Nordin

Pembinaan kapal LCS penuhi perancangan ditetapkan – Khaled Nordin

by M.Daim

LUMUT, 4 JUN – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menyatakan pembangunan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) telah mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau menyatakan perkara tersebut selepas mengadakan lawatan ke Limbungan Kapal Lumut Naval Shipyard (LUNAS), hari ini.

“Kita gembira kerana LCS pertama telah menepati batu penanda (milestone) yang telah ditetapkan,

“Kapal LCS pertama telah diluncurkan ke air pada 23 Mei 2024 lalu,” katanya.

Menurut beliau, peluncuran kapal tersebut telah mendapat persetujuan pelbagai pihak termasuk pembuat reka bentuk, mengawal selia reka bentuk dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Jelas Menteri Pertahanan, fasa seterusnya adalah pemasangan peralatan dan pelbagai persenjataan sebelum menjalani beberapa fasa ujian seterusnya.

Antara fasa ujian yang akan dijalankan adalah Harbour Test dan Sea Trial. Kapal LCS pertama dijadualkan akan diserahkan kepada TLDM pada tahun 2026.

Menyentuh fasa ujian yang memakan masa yang panjang, Menteri Pertahanan menegaskan ia perlu dilaksanakan dengan teliti memandangkan ia merupakan aset pertahanan yang kritikal untuk negara.

LCS 1 atau dikenali sebagai Maharaja Lela merupakan kapal pertama daripada 5 buah LCS untuk TLDM. Perolehan kapal LCS merupakan salah satu daripada tonggak utama Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM.

Menyentuh perkembangan 4 buah kapal lain, Khaled Nordin menyatakan ianya sedang dilaksanakan mengikut perancangan dan turut dibantu dengan keupayaan kepakaran tempatan. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #LCS

Related Articles

Leave a Reply