Home Pertahanan dan Keselamatan RM2.4 bilion peruntukan tingkat upaya pesawat F/A-18D

RM2.4 bilion peruntukan tingkat upaya pesawat F/A-18D

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan kira-kira RM2.4 bilion dari Bajet 2023 bagi melaksanakan peningkatan keupayaan sistem dan Sustainment Programme pesawat F/A-18D Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien memaklumkan, penyelenggaraan pesawat F/A-18D ini penting bagi memastikan pesawat berkenaan terus berkeupayaan melaksanakan penugasan seiring tuntutan keselamatan semasa.

“Kerja-kerja penyelenggaraan pesawat F/A-18D ini turut akan dilaksanakan menerusi kerjasama hasil hubungan erat Malaysia-Amerika Syarikat,

“Ia telah diperhalusi dan dipersetujui semasa perbualan telefon saya dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Llyod J. Austin III beberapa hari lalu,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Berhubung dengan pembelian aset baharu, Hishammuddin menjelaskan, sebahagian perolehan aset ini akan dibuat menerusi perancangan kewangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK3-12) memandangkan bajet tahunan yang diberikan agak terhad dan tidak mencukupi.

Jelasnya, antara perolehan yang dirancang termasuklah pembelian aset strategik iaitu Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Medium Altitude Long EnduranceUnmanned Ariel System (MALE-UAS) bagi TUDM.

“Bagi perolehan MPA dan MALE-UAS, Kementerian Kewangan (MOF) telah memuktamadkan kedua-dua tender tersebut. MINDEF sedang dalam proses akhir untuk mengeluarkan Surat Setuju Terima setelah semua terma dan klausa serta spesifikasi dipersetujui oleh Kerajaan dan syarikat,

“Untuk perolehan 2 buah MPA, kerajaan telah bersetuju dengan tawaran oleh syarikat Leornado. Manakala bagi perolehan 3 unit MALE-UAS, kerajaan telah memutuskan untuk berkontrak dengan syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI),” tambahnya.

Selain itu, bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat Malaysia (TDM), beliau menjelaskan, MINDEF akan melaksanakan perolehan Kenderaan Jenis A 4×4 sebanyak 136 unit dan Kenderaaan Jenis B pelbagai unit dengan nilai perolehan sebanyak RM2.049 bilion.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz telah membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat.

Tengku Zafrul ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 mengumumkan peruntukan sebanyak RM18.3 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan RM17.4 bilion untuk MINDEF dalam usaha memperkukuhkan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Beliau berkta, bajet ini merangkumi pembelian dan penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kesiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir RM4 bilion. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply