Home Pertahanan dan Keselamatan Perolehan LCS, LMS Batch kedua adalah penting dan mustahak – TLDM

Perolehan LCS, LMS Batch kedua adalah penting dan mustahak – TLDM

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini menegaskan perolehan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) dan Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) merupakan keperluan operasi untuk angkatan laut negara.

TLDM dalam satu hantaran di akaun media sosialnya berkata, pihaknya menyambut baik perkembangan terkini LCS dan juga rancangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam melaksanakan perolehan LMS.

“TLDM juga menghargai dan mengalu-alukan perancangan Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan perolehan kapal Littoral Mission Ship (LMS) batch kedua dengan persenjataan yang lebih lengkap dan berkemampuan tinggi,

“Ini merupakan keperluan kritikal operasi TLDM,” katanya.

Pelan Transformasi 15-to-5 merupakan rancangan strategik untuk memperkemaskan aset armada TLDM.

Mengulas komitmen bertulis Kerajaan Perancis, TLDM menyatakan ianya satu perkembangan signifikan dalam usaha meneruskan dan menyiapkan projek LCS.

“Sebagai pengguna akhri (end user), sebarang usaha yang membolehkan TLDM memiliki dan memanfaatkan aset ini dengan kadar segera amat disokong,

“Ia sememangnya penting bagi memperkukuh ketumbukan armada negara bersesuaian dengan Pelan Transformasi TLDM 15-to-5,

“Fasa mobilisasi dalam tempoh 6 bulan ini merupakan fasa yang sangat mustahak dan memerlukan kerjasama serta komitmen sepenuhnya daripada semua pemegang taruh termasuk TLDM sendiri,” katanya.

Wakil Kerajaan Perancis telah menyerahkan komitmen bertulis Paris kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Komitmen bertulis Kerajaan Perancis untuk meneruskan dan menyelesaikan projek LCS sebagai keutamaan telah diserahkan oleh wakil Paris kepada Menteri Kanan Pertahanan, dalam satu pertemuan di Kementerian Pertahanan Malaysia pada 1 September lalu.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Nazim Rahman dalam satu kenyataan berkata, komitmen oleh kerajaan Perancis menandakan semua kesemua pihak berkepentingan kini berpadu usaha untuk memastikan perolehan LCS siap.

“Naval Group, sebuah syarikat pegangan Kerajaan Perancis, adalah syarikat yang mereka-bentuk kapal LCS ini dan merupakan payung utama di kalangan 43 syarikat Eropah yang terlibat dalam projek ini,

“Rundingan semula dengan syarikat-syarikat ini adalah proses yang rumit yang memerlukan penglibatan hubungan antara kerajaan (G2G),” kata Nazim dalam satu hantaran di akaun media sosial beliau semalam.

Dalam hantaran yang sama, Nazim menyatakan pihaknya menyambut baik keputusan Lembaga Pengarah Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk membatalkan surat anugerah kontrak kepada syarikat Contraves Advance Devices (CAD) dan Contraves Electrodynamics (CED) bernilai RM3.4 bilion.

Kenyataan oleh Ketua Eksekutif LTAT< Datuk Nazim Rahman di akaun media sosial beliau.

“Kedua-duanya adalah syarikat ‘orang tengah’ yang kini sedang disiasat atas pelbagai dakwaan rasuah dan perlanggaran undang-undang,

“Keputusan ini akan membolehkan BNS berunding secara terus dengan syarikat-syarikat pengeluar dan sekaligus mengurangkan kos pembinaan keseluruhan,

“Sebagai kontraktor utama projek ini, keputusan ini juga merupakan komitmen BNS untuk meneruskan projek LCS ini tanpa diselubungi oleh tindakan-tindakan korporat (corporate actions) yang meragukan seperti mana sebelum ini,” ujar beliau.

Kelewatan perolehan LCS telah mendapat perhatian umum semenjak Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah menerbitkan laporan siasatan berhubung projek terbabit. Selain daripada itu, kerajaan telah mengarahkan 2 dokumen – Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dan laporan audit dalaman Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) telah dinyahklasifikasi untuk akses umum.

Air Times sebelum ini melaporkan TLDM pada ketika ini memiliki kira-kira 3 buah kapal kombatan dalam menjaga kedaulatan perairan negara dalam artikel bersiri Hikayat Armada.  Siri artikel tersebut sehingga kini mengupas keadaan semasa armada, keusangan aset, keperluan kapal LCS serta rancangan 15-to-5 TLDM serta usaha untuk merealisasikan perolehan LCS oleh Kementerian Pertahanan Malaysia. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply