Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan terus komited jaga kebajikan veteran ATM – Hishammuddin

Kementerian Pertahanan terus komited jaga kebajikan veteran ATM – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Kementerian Pertahanan telah memajukan cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk meluluskan kenaikan jumlah Bantuan Sara Hidup kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di bawah Kategori B40 daripada RM300 sebulan kepada RM400 sebulan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan, perkara itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan keperluan menampung perbelanjaan seharian golongan berkenaan.

Tambah Hishammuddin, pihaknya juga sudah menyelesaikan kajian dalaman di peringkat kementerian dalam usaha membolehkan pemberian Elaun Kenangan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dilaksanakan yang diharap mendapat pertimbangan dan kelulusan Kementerian Kewangan.

“Ini bermakna bahawa, antara kemahuan veteran ATM, dua sudah selesai dipenuhi, manakala dua lagi perkara selesai kajian di peringkat kementerian dan ia tidak akan terhenti di sini.

“Kementerian ini sentiasa berusaha bertungkus lumus demi membela kebajikan veteran ATM dengan sebaik mungkin. Perkembangan dan hasil usaha ini akan saya umumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Bagaimanapun, Hishammuddin mengingatkan bahawa kemahuan veteran ATM tidak hanya membabitkan perancangan di peringkat Kementerian Pertahanan sahaja, tetapi turut membabitkan perihal kewangan serta pentadbiran awam yang memerlukan pertimbangan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Maka saya akan terus berhubung dengan Menteri Kewangan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dari semasa ke semasa bagi memastikan harapan kita ini, insya-Allah dapat dipenuhi,

“Juga penting untuk saya ingatkan, bagi veteran ATM yang masih belum mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), segeralah mendaftar supaya setiap inisiatif dan bantuan yang dilaksanakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau menambah, seperti yang dinyatakan sebelum ini, pihaknya akan berkongsi mengenai perkembangan terkini berkaitan usaha dan inisiatif kementerian itu bagi menambahbaik kebajikan veteran ATM.

“Hari ini, saya mengambil kesempatan untuk memaklumkan kepada orang ramai khususnya kepada veteran apa yang telah kita lakukan,

“Pada Julai lalu, saya umumkan 2 penambahbaikan sekali gus memenuhi 2 daripada 5 kemahuan utama veteran ATM,

“Pertama, penambahbaikan pencen terbitan dan kedua, panel penasihat bagi mempertimbangkan permohonan bekas tentera untuk diiktiraf sebagai veteran ATM.

“Alhamdulillah, 2 penambahbaikan ini sudah mula dilaksanakan. Namun saya akui, menerusi pertemuan dengan wakil-wakil veteran ATM, yang turut menjadi kemahuan veteran ATM adalah Elaun Kenangan Kepada Penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM),” jelas Menteri Kanan Pertahanan.

Jelasnya, pelbagai pemegang taruh di Kementerian Pertahanan dan ATM sudah beberapa kali duduk semeja, berkongsi pandangan, meneliti langkah serta perancangan berhubung perkara itu.

Terbaru, beliau menjelaskan, satu bengkel berkaitan elaun PJM diadakan awal Ogos lalu dengan pembabitan beberapa persatuan veteran.

“Ini termasuk Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Persatuan Veteran (Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen,

“Terima kasih kepada wakil veteran yang berkongsi input, membawa hasrat rakan-rakan veteran yang lain serta meneliti setiap perincian bagi diangkat kepada Kementerian Kewangan untuk persetujuan,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply