Home Pertahanan dan Keselamatan Kapal perang Armada Timur TLDM hanya sekadar peronda, tidak punyai keupayaan tempur

Kapal perang Armada Timur TLDM hanya sekadar peronda, tidak punyai keupayaan tempur

by M.Daim

KOTA KINABALU, 4 Okt –  Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali hari ini menegaskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) amat memerlukan aset-aset berkeupayaan tempur dalam menghadapi ancaman konflik di kawasan perairan.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, keupayaan tempur aset-aset TLDM adalah berada dalam keadaan kritikal.

“Aset-aset di bawah Armada Timur hanya terdiri dari Flotilla Ronda yang tidak dilengkapi keupayaan tempur seperti sistem persenjataan, radar pengawasan serta penjejak dan peluru berpandu,” katanya.

Beliau menambah, situasi semasa khususnya di Laut China Selatan menuntut TLDM untuk mempunyai kelengkapan yang lebih baik sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

“Dengan perubahan lanskap ancaman maritim semasa dan campurtangan kuasa besar di Laut China Selatan, TLDM sangat memerlukan aset-aset berkeupayaan tempur,

“Buat masa ini, keupayaan tempur aset-aset TLDM pada tahap kritikal,” katanya.

Beliau menambah, perolehan aset baharu seperti Littoral Combat Ship dan Littoral Mission Ship batch kedua amat kritikal bagi TLDM mengalas tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Menyentuh keusangan yang dihadapi, Sabri menyatakan perkara tersebut tidak akan berlaku sekiranya peruntukan pertahanan mencukupi setiap tahun.

“Markas Pemerintahan Armada Timur berpendapat bahawa isu keusangan ini tidak akan berlaku jika Kerajaan menyediakan peruntukan pertahanan yang mencukupi pada setiap tahun,

“Cadangan peruntukan sebanyak 1.5 peratus daripada KDNK negara khusus untuk pertahanan bukan sesuatu yang mustahil dilaksanakan sekiranya Kerajaan benar-benar serius terhadap isu keselamatan dan kedaulatan negara,” jelas Sabri.

Beliau menambah, bajet pertahanan perlu diibaratkan seperti membeli polisi insuran kepada keselamatan negara.

“Keselamatan negara akan berdepan risiko yang tinggi sekiranya Kerajaan hanya membeli polisi yang minimum. Kesannya akan lebih merugikan Kerajaan bila negara berdepan krisis keselamatan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Sabri menyatakan Markas Pemerintahan Armada Timur akan kekal fokus mendukung misi TLDM untuk mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan maritim negara.

“Walaupun aset-aset sedia ada bukan pada tahap yang terbaik, Armada Timur akan kekal komited dan bersedia sebilang masa untuk memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sedaya mungkin,” katanya.

Pada ketika ini, TLDM sedang melaksanakan Eksesais KERISMAS 27/2022 di kawasan perairan Laut China Selatan.

Jelas Sabri, eksesais ini merupakan salah satu janji yang dizahirkan TLDM dalam mendukung amanah untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan Malaysia di kawasan perairannya.

KERISMAS 27/2022  merupakan eksesais tahunan yang menguji tahap kesiagaan aset-aset TLDM dan kecekapan warga kapal dalam melaksanakan setiap prosedur operasi maritim.

Selain itu, ia turut bertujuan untuk menilai sistem sokongan bahagian logistik TLDM. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply