Home Pertahanan dan Keselamatan Kolumnis: Menanti calon LCA/FLIT TUDM dimuktamadkan

Kolumnis: Menanti calon LCA/FLIT TUDM dimuktamadkan

by Zaki Salleh

Dalam tempoh seminggu dua ini, isu membabitkan masalah pesawat FA-50 Tentera Udara Filipina (PAF) rancak menjadi cakap-cakap dalam beberapa laman media.

Dikatakan, isu kelewatan mendapat alat ganti daripada pihak pengeluarnya, Korea Aerospace Industries (KAI) telah merencatkan jumlah pesawat operasional.

Media menyebut, dakwaan hanya tiga daripada 12 buah pesawat FA-50 PAF mampu beroperasi walaupun tiada sebarang pengesahan mulanya.

Pesawat tempur ringan FA-50 Tentera Udara Filipina dilaporkan mengalami masalah berikutan isu alat ganti.

Bagaimana pun menerusi satu hantaran, Philippines News Agency melaporkan bahawa, PAF mengesahkan situasi berkenaan disebabkan pesawat-pesawat sedang melaksanakan senggaraan mandatori.

Jelas PAF, kelewatan penghantaran alat ganti pula telah menjejaskan kerja penyelenggaraan di mana masalah tersebut timbul akibat kelewatan dalam rantaian bekalan global.

Permasalahan itu sedang diatasi dan pihak PAF pada masa sama menepis dakwaan ia menjejaskan keupayaan angkatan udara itu untuk melaksanakan tugasnya.

Bagi rantau Asia Tenggara selain PAF, Thailand dan Indonesia mengoperasikan pesawat daripada keluarga sama tetapi versi latihan iaitu T-50.

Namun, tidak pula kedengaran sama ada dua  negara itu berdepan masalah yang sama iaitu tentang pembekalan alat ganti.

Semestinya isu yang dihadapi PAF ini menarik perhatian kerana FA-50 disebut sebagai antara calon bagi perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (LCA/FLIT) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Justeru, apa jua perkara yang berkaitan pasti menimbulkan kerunsingan apatah lagi proses perolehan LCA/LIFT kini dalam fasa muktamad.

Perolehan LCA/FLIT merupakan sebahagian daripada perancangan strategik Capability 2055 (CAP 55) Tentera Udara Diraja Malaysia bagi mengantikan peranan beberapa buah pesawat termasuk hawk 108/208. Foto: Air Times/M Daim

FA-50 yang dibangunkan daripada pesawat KAI T-50 Golden Eagle juga telah dioperasikan tujuh angkatan udara di dunia dengan pengguna terbesar adalah Korea Selatan iaitu lebih 100 pesawat bagi kedua-dua variasi.

Pesawat latihan T-50 juga dikatakan sebagai setanding dengan pesawat jenis sama buatan Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara NATO, menyebabkan pesawat ini turut menarik perhatian Tentera Udara AS.

Perolehan LCA/FLIT adalah bagi menggantikan pesawat-pesawat Hawk dan Aermacchi MB339CM TUDM seperti mana diumumkan tiga tahun lalu.

Fasa pertama untuk membekalkan 18 pesawat LCA/FLIT ini telah meletakkan negara dalam radar firma-firma aeroangkasa apabila difahamkan enam syarikat telah mengemukakan cadangan bagi merebut kontrak tersebut bernilai RM4 bilion.

Dikatakan pesaing terdekat FA-50 ialah pesawat Tejas buatan firma Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) India.

Berdasarkan komen-komen dan maklum balas dalam media maya tempatan, Tejas diperlekehkan atas faktor ia merupakan sebuah pesawat yang belum pernah teruji walaupun negara pembinanya sangat berpengalaman dalam aksi pertempuran udara.

Ketegangan dalam hubungan India – Pakistan sejak 70 tahun lalu telah mendedahkan juruterbang kedua-dua negara pada beberapa siri pertempuran udara hingga pada dekad kini.

Pesawat Tejas keluaran HAL dari India merupakan antara calon yang menjadi tumpuan dalam perolehan LCA/FLIT untuk TUDM. Foto: Air Times

India yang sesekali mempunyai hubungan dingin dengan China juga dilihat telah membina industri pertahanan yang mampu berdikari dalam erti kata sebenar.

Kemajuan industri sains dan teknologi  negara itu sehingga pada peringkat berjaya menghantar angkasawan ke angkasa lepas juga bukanlah boleh dipandang sebelah mata.

Program angkasa lepas India sendiri telah bermula seawal tahun 1962.

Dalam bidang industri pertahanan dan aeroangkasa, terdapat lebih 200 syarikat pelbagai kategori di India termasuk yang menjalankan program usahasama dengan negara-negara barat termasuk Rusia.

HAL misalnya merupakan firma aeroangkasa yang paling unggul dalam senarai 10 syarikat aeroangkasa teratas negara itu.

Ditubuhkan pada 1940, firma yang berpangkalan di Bangalore ini mula terbabit dalam pembinaan pesawat udara pada tahun 1942 dan kini mempunyai 11 pusat penyelidikan.

Tejas yang pertama kali beraksi di pentas global semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019  (LIMA ’19) tidaklah seteruk seperti yang dilabelkan masyarakat maya.

Benar, pesawat ini tidak teruji di medan pertempuran dan begitu jugalah FA-50, tetapi ia tetap dibina oleh sebuah firma yang mempunyai teknologi kejuruteraan tahap tertinggi.

Ini kerana membina sebuah pesawat tempur sehingga menjadi rekaan matang bukanlah proses mudah kerana tidak banyak negara yang mampu menguasai bidang kejuruteraan aeroangkasa.

Peluru berpandu Brahmos merupakan antara menjadi taring pesawat Tejas. Foto: Air Times

Berbanding FA-50, Tejas lebih menyerlah sebagai pesawat tempur ringan sebenar dengan sistem persenjataan yang ampuh  memberikan kelebihan.

Tejas boleh membawa variasi persenjataan seperti sistem peluru berpandu udara ke udara  R73E, Python 5, ASRAAM, Derby dan Astra.

Pesawat ini juga boleh melancarkan peluru berpandu anti kapal BrahMos NG dan NASM-MR. BrahMos NG sangat digeruni kerana boleh mengenai sasaran sejauh 290 kilometer.

Memiliki BrahMos dilihat boleh melonjakkan keupayaan tempur TUDM dalam aspek cegah rintang untuk mengekang pencerobohan sempadan maritim di Laut China Selatan.

Apa pun, keputusan pesawat mana yang akan dimuktamadkan bagi perolehan LCA/FLIT TUDM nanti sememangnya sangat dinanti-nantikan, tidak kiralah apa pun jenis pesawat tersebut.

Ini kerana TUDM sebagai pengguna akhir lebih arif tentang bentuk keperluan, jenis pesawat, operasi serta ciri-ciri yang mereka ingini pada 18 buah pesawat yang bakal beraksi pada ruang angkasa negara nanti. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply