Home Pertahanan dan Keselamatan Kolumnis: Bajet pertahanan beri gambaran pada kekuatan ATM

Kolumnis: Bajet pertahanan beri gambaran pada kekuatan ATM

by Zaki Salleh

Malaysia telah bersetuju untuk memperolehi dua jenis sistem peluru berpandu dengan kos sebanyak USD$350 juta sebagai langkah untuk menggandakan payung pertahanan udara negara.

Sistem pertahanan udara jarak rendah (Shorad) Jernas akan dibekalkan firma MBDA manakala sistem Igla dari Rosoboronexport, Rusia.

Kedua-dua sistem persenjataan ini akan diterima secara berperingkat-peringkat dalam tempoh tiga tahun dan apabila dioperasikan kelak, ia juga melonjakkan kemahiran anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Setelah 20 tahun perolehan kedua-dua sistem ini dibuat, Jernas kini tidak lagi digunakan sejak setahun lalu setelah melepasi tempoh hayat penggunaan.

Sistem peluru berpandu lancaran bahu (MANPADS) Igla masih ada, namun jumlah sebenar pelancar aktif tidak diketahui.

Perolehan besar seperti ini sangat dinanti-nantikan ATM selaku pengguna akhir, tambahan pula dengan isu-isu serantau yang memerlukan angkatan itu diperkasakan.

Menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini, persoalan yang hangat diperkatakan ketika ini ialah adakah ATM bakal menerima peruntukan lebih besar berbanding sebelumnya.

Pada Bajet 2022, Kementerian Pertahanan menerima peruntukan RM16.14 bilion, di mana hanya pertambahan terlalu kecil iaitu kira-kira 1.78 peratus berbanding peruntukan tahun lalu.

Tahun sebelumnya, ATM mene­rima peruntukan sebanyak RM15.86 bilion, manakala jumlah yang diterima pada 2020 adalah RM15.6 bilion dan RM13.9 bilion (2019).

 

Bagaimana pun, daripada jumlah tersebut sebahagian besar iaitu sehingga 60 peratus diperuntukkan bagi emolumen manakala bakinya bagi perbelanjaan pembangunan.

Justeru, kemampuan kewangan penting demi memastikan kesiapsiagaan ATM berada pada paras mampu beroperasi sebagai sebuah angkatan lengkap.

Ini kerana belanjawan terhad menyebabkan beberapa rancangan perolehan yang telah disenarai oleh ATM terpaksa ditangguhkan atau diberi keutamaan berdasarkan keperluan-keperluan lain

Antaranya perolehan sistem peluru berpandu pertahanan udara aras sederhana, pesawat radar amaran awal, sistem artileri mudah gerak, kapal sokongan logistik dan pesawat pengangkut taktikal.

Bajet pertahanan yang seimbang membolehkan ATM meneruskan rancangan pemodenan selain menyelenggara aset-aset sedia ada.

Jika masih ingat lagi, selepas nahas helikopter Nuri di Genting Sempah pada tahun 2007, banyak cadangan diketengahkan sebelum kerajaan pada masa itu memutuskan khidmat helikopter itu bakal ditamatkan.

Pesawat Nuri hanya dirancang diganti pada tahun 2026 walaupun keperluan untuk mengoperasikan helikopter utiliti baharu untuk ATM mendesak.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) misalnya ketika ini berhadapan dengan isu kekurangan kapal-kapal perang, manakala jumlah yang ada pula telah berusia.

Sama ada silap perancangan atau perancangan yang silap, kesannya TLDM terpaksa mengerah kudrat kapal-kapal era 70an dan 80an untuk mengawasi perairan negara.

Sebagai negara maritim, kerajaan perlu memberi lebih perhatian pada kapal-kapal perang moden tentera laut yang secara langsung juga memperkasakan aspek moral anggota.

Malaysia seperti juga negara berdaulat lain perlu mempunyai keupayaan berdikari dalam aspek pertahanan agar tidak bergantung pada pihak luar

Ini kerana dalam aspek pertahanan, ancaman tidak akan berlaku dengan amaran. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply