Home Semasa Ahli politik Filipina tuntut Sabah bersifat peribadi – Wan Junaidi

Ahli politik Filipina tuntut Sabah bersifat peribadi – Wan Junaidi

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=WrGW1CuKNiU[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Tuntutan beberapa ahli politik Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah bersifat peribadi dan tidak ada kena mengena dengan kedaulatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan, kerajaan akan bertindak sekiranya Filipina secara rasmi memberikan reaksi terhadap tuntutan daripada waris Sulu kepada Kerajaan Malaysia.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa tuntutan ini tak ada kena-mengena dengan soal keadilan negara, tuntutan daripada waris Sultan Sulu ini adalah tuntutan peribadi kepada Malaysia daripada apa dikatakan sewaan jajahan Sabah itu dahulu, ia tiada kaitan dengan kedaulatan negara,” katanya menjawab sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Junaidi menjawab pertanyaan Chan Foong Hin (Kota Kinabalu-PH) yang ingin tahu reaksi kerajaan berkenaan isu tuntutan berkenaan yang menurutnya kini beralih menjadi isu kedaulatan negara, selepas beberapa senator Filipina dilapor mahu memperbaharui tuntutan ke atas Sabah sebagai sebahagian Filipina.

Tegasnya, Wisma Putra sudah mengambil maklum perkara yang dibangkitkan beberapa ahli politik berkenaan dan menyifatkan tindakan itu sebagai ‘menangguk di air keruh’ serta mengambil kesempatan.

“Wisma Putra sedang memantau perkembangan isu berkenaan dan tuntutan pihak mendakwa waris (Kesultanan) Sulu ini adalah tuntutan peribadi kepada Malaysia (yang) menuntut daripada apa yang dikatakan sewaan jajahan Sabah, bukan tuntutan yang ada kena mengena dengan kedaulatan Sabah itu sendiri,

“Setakat ini, Wisma Putra sudah mengambil maklum ada perkara dibangkitkan senator dan ahli politik di Filipina. Apabila kerajaan Filipina beri maklum balas kepada kehendak ahli politik ini, barulah Wisma Putra mengambil tindakan,” tambahnya.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort) mengenai status tindakan diambil oleh kerajaan berhubung isu tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, Wan Junaidi menjelaskan, kerajaan giat melaksanakan tindakan komprehensif dalam menghadapi semua tindakan perundangan di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.

“Sehingga kini, pihak penuntut yang mendakwa waris kepada Kesultanan Sulu diwakili sekumpulan peguam diketuai oleh Paul Cohen membawa proses arbitrasi ke beberapa negara iaitu bermula di Sepanyol di mana pada 29 Jun 2021, Mahkamah Madrid memutuskan bahawa pelantikan Penimbang Tara, Dr Gonzalo Stampa telahpun terbatal dan tidak sah,

“Terkini, pasukan peguam penuntut dalam proses untuk menguatkuasakan ‘final award’ oleh Dr Gonzalo Stampa di Belanda bagi menuntut melalui proses sitaan aset syarikat Malaysia di sana dan kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara sentiasa komited dan akan mencabar segala proses perundangan yang perlu dihadapi,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply