KOTA TINGGI, 6 Okt – Seorang lelaki tempatan didenda sebanyak RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi selepas mengaku bersalah menangkap ikan tanpa kebenaran dan memiliki peralatan yang tiada lesen sah pada April lalu, pada Rabu.
Hakim Mahkamah Seksyen Kota Tinggi, Norsiah Ujang, membuat keputusan selepas tertuduh, Abdul Gafar Abdul Latif,48, yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Abdul Gafar didakwa memiliki peralatan menangkap ikan serta menangkap ikan tanpa lesen yang sah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(b) akta sama.
Tertuduh boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Manakala pertuduhan ketiga pula, lelaki itu didakwa memiliki atau di bawah kawalannya bahan letupan jenis emulex tanpa tujuan atau kebenaran yang sah di sisi undang-undang.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua. Sekiranya gagal membayar, penjara 3 bulan dan 2 bulan penjara serta RM1000 untuk pertuduhan ketiga dan sekiranya gagal penjara satu bulan penjara.
Mahkamah turut mengarahkan barang kes seperti vesel, dan peralatan menangkap ikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.
Terdahulu, pada 18 April lalu, satu tangkapan berhubung penggunaan bom bagi tujuan menangkap ikan dibuat oleh APMM Zon Maritim Mersing yang sedang melaksanakan operasi Op Jaksa di jeti Teluk Buih, Mersing. -airtimes.my