Home Pertahanan dan Keselamatan ATM perlu bersedia untuk hadapi cabaran peperangan masa hadapan – Panglima Angkatan Tentera

ATM perlu bersedia untuk hadapi cabaran peperangan masa hadapan – Panglima Angkatan Tentera

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhadapan cabaran yang kompleks berikutan perubahan geostrategik global dan serantau.

Beliau menyatakan perkara tersebut dalam Perutusan Khas Panglima Angkatan Tentera Sempena Hari Ulang Tahun ATM ke-89.

“Suasana persekitaran keselamatan yang tidak menentu serta perubahan dinamik landskap geostrategik global dan serantau telah mewujudkan cabaran-cabaran baharu kepada negara khususnya kepada ATM,

“Ianya diparahkan dengan situasi pergolakan di serata dunia yang kesannya boleh dirasai sehingga ke rantau ini ketika dunia masih berada di dalam pasca COVID-19,” katanya.

Menurut Panglima Angkatan Tentera, latar belakang semasa yang bersandarkan kepada suasana tidak menentu yang timbul telah meningkatkan tanggungjawab ATM selain menangani cabaran keselamatan yang menjadi lebih rumit.

“Dengan suasana ketidaktentuan tersebut, sebagai latar belakang persekitaran semasa, ianya sekaligus meningkatkan tanggungjawab ATM selain menangani cabaran keselamatan berbentuk tradisional dan bukan tradisional yang turut menjadi lebih rumit serta kompleks,

“Apatah lagi dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0, serta kemajuan teknologi yang pesat, dikhuatiri ianya akan dimanipulasikan untuk melancar strategi peperangan hibrid yang mana salah satu darinya adalah serangan siber, seperti mana yang sering berlaku pada ketika ini,

“Justeru, ATM harus membuat suatu anjakan paradigma yang tegas jika ingin berjaya dalam menangani ancaman-ancaman yang kompleks ini,” jelas Affendi.

Beliau menambah, antara langkah yang akan diambil oleh ATM adalah membentuk dan mengukuhkan strategi kesatuan serta berkesamaan yang ampuh bagi menghadapi konflik pada masa hadapan.

“Peperangan masa hadapan tidak melibatkan satu perkhidmatan sahaja,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan tahap kesiagaan ATM yang tinggi dapat dikekalkan dengan peningkatan kompetensi di kalangan anggota tentera. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply