SAN DIEGO, 16 Sept – Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) telah menamatkan perkhidmatan sebuah kapal tempur pesisir (LCS) yang telah berkhidmat selama 8 tahun.
Upacara penamatan perkhidmatan USS CORONADO (LCS 4) telah dilaksanakan di pangkalan San Diego pada 14 September lalu.
“USS Coronado serta anak kapalnya telah menyumbangkan banyak masa dan tenaga dalam memastikan program LCS berjaya sepanjang perkhidmatannya,” kata US Navy dalam satu kenyataan.

Misil anti permukaan keluaran Kongsberg, Naval Strike Missile (NSM) pernah diuji pada USS Coronado pada tahun 2014. Foto: US Navy
Menurutnya, kali terakhir USS Coronado ditugaskan di kawasan perairan Indo-Pasifik adalah pada tahun 2017. Kapal ini turut pernah berlabuh di Cam Ranh, Vietnam dan Lumut, Malaysia.
“Semenjak 5 April 2014, kapal ini telah menjadi pemacu dalam membuktikan keupayaan platform LCS serta mengenal pasti dan membentuk misi,” kata Pegawain Memerintah USS Coronado, Commander Spike Lamson.
Menurut US Navy, LCS merupakan kapal yang direka untuk beroperasi di kawasan berhampiran pesisir sebagai satu platform yang pantas dan berorientasikan misi.
“LCS berupaya untuk memberikan sokongan dalam memperagakan kehadiran, keselamatan maritim, kawalan laut serta misi cegah rintang global,” jelas kenyataan itu.

MQ-8 Fire Scout merupakan pesawat tanpa pemandu yang dioperasikan dari kapal USS Coronado. Pesawat ini berperanan untuk melakukan tinjauan dan mengesan sasaran. Foto: US Navy
USS Coronado merupakan kapal LCS varian Independence yang dihasilkan oleh Austal USA. Kapal ini ditauliahkan pada 5 April 2014 dan telah ditempatkan dibawah pemerintahan Armada ke-7 (7th Fleet). Ia turut diintegrasikan ke dalam ketumbukan kapal induk angkatan laut negara itu.
Kapal bersesaran 3,338 ton ini berupaya untuk berlayar pada kelajuan maksimum 47 knot (87 kilometer sejam). Ia dilengkapi dengan selaran meriam utama 57mm MK 110. Kapal ini turut dilengkapi dengan Evolved SeaRAM dan 4 laras mesingan .50 kaliber sebagai senjata pertahanan diri.

USS Coronado ketika berlabuh di Langkawi bersempena LIMA’17. Fot: US Navy
Pengoperasian kapal ini turut melibatkan operasi pesawat tanpa pemandu dengan penggunaan MQ-8 Fire Scout. Selain daripada itu, USS Coronado berupaya untuk menampung operasi helikopter MH-60R/S Sea Hawk.
Ujian penembakan peluru berpandu anti permukaan, Naval Strike Missile (NSM) dan Harpoon Block 1C telah dilakukan pada USS Coronado.
Kapal ini pernah menjadi salah satu kapal yang menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi pada tahun 2017. – airtimes.my