JOHOR BAHRU, 6 SEPTEMBER – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang meneliti pilihan lain bagi memenuhi keperluan pertahanan udara negara susulan kelewatan penghantaran pesawat pejuang F/A-18 Legacy Hornet dari Kuwait.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu itu timbul berikutan ketidaktentuan mengenai penerimaan pesawat baharu Kuwait daripada Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjejaskan proses penyerahan pesawat berkenaan kepada Malaysia.
“Ketika ini kerajaan Kuwait sedang menunggu tarikh penyerahan pembelian jet pejuang baharu dari AS. Perkembangan terkini memaklumkan terdapat penangguhan penyerahan jet pejuang dari AS ke Kuwait dengan tarikhnya belum ditetapkan,
“Saya difahamkan bahawa penghantaran jet-jet baharu Kuwait daripada Amerika telah ditangguhkan lagi. Justeru, kita tidak boleh menunggu tanpa kepastian kerana Kuwait hanya boleh menyerahkan F/A-18 itu kepada kita selepas mereka menerima pesawat baharu,
“Kalau mereka tidak dapat, maka mereka tidak boleh serah kepada kita. Jadi di sinilah timbul masalah berikutan berapa lama kita boleh tunggu untuk memenuhi keperluan kita,” katanya kepada media, hari ini.
Beliau menjelaskan, MINDEF kini sedang menilai alternatif lain agar Malaysia tidak berada dalam keadaan yang merugikan dan menolak dakwaan perolehan jet dari Kuwait tersebut telah dibatalkan.
“Kalau kita tunggu sahaja, kita tidak akan buat apa-apa untuk pertimbangkan benda lain. Jadi kita fikir, kita perlu ada pilihan lain supaya kita tidak berada dalam keadaan yang tidak berpihak kepada kita,” tambah Khaled.
Dalam perkembangan berkaitan, kemampuan jet pejuang Sukhoi MKM yang dimiliki Malaysia ketika ini juga akan dinilai bagi menentukan sama ada ia mencukupi untuk memenuhi keperluan pertahanan negara.
Ujar Khaled, kajian terperinci akan dibuat memandangkan bermula 2027, semua pesawat tempur ringan Hawk 108 dan Hawk 208 akan ditamatkan perkhidmatan secara berfasa. -airtimes.my
#Aset #pertahanan #keselamatan #airtimes #Hornet #Kuwait






