Home Pertahanan dan Keselamatan Perang di Ukraine boleh terjadi di Malaysia jika kita lalai – Panglima

Perang di Ukraine boleh terjadi di Malaysia jika kita lalai – Panglima

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=K6er2dNZjIY[/embedyt]

 

KUANTAN, 26 Sept – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini menegaskan konflik yang berlaku di Ukraine boleh terjadi di Malaysia pada bila-bila masa.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan bersempena Perbarisan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-89.

Jelasnya, keadaan persekitaran geostrategik serantau dan global tidak menentu telah menimbulkan pelbagai ancaman baharu termasuk melalui Peperangan Hibrid.

“Seharusnya, kita khuatir dengan keadaan ini. Ianya datang tanpa disedari dan perlahan-lahan memutuskan hubungkait sistem dan struktur pemerintahan negara,” katanya.

Beliau menambah, ancaman sebegini boleh menyebabkan kedaulatan negara tergadai secara keseluruhan.

“Contoh terbaik adalah konflik semasa yang sedang berlaku di Ukraine. Kita boleh lihat bagaimana keamanan sesebuah negara berdaulat berubah secara dinamik sehingga mewujudkan keadaan ketegangan di luar jangkaan,

“Situasi ini bukan sahaja mengorbankan banyak nyawa tetapi ia turut menjejaskan ekonomi serta pelbagai kesan negatif kepada penduduk dunia,” ujarnya.

Menurut Affendi, perkara ini seharusnya dijadikan iktibar kerana ianya boleh berlaku kepada Malaysia pada bila-bila masa. Melihat kepada ancaman tersebut, ATM selaku perisai kedaulatan negara perlu bersedia pada setiap masa.

Panglima Angkatan Tentera bersama Panglima-panglima Perkhidmatan memeriksa Perbarisan Statik bersempena Hari ATM ke-89 di Pangkalan Udara Kuantan. Foto: M Daim

“Oleh itu, saya ingin menekankan kepada semua warga bahawa perkara sebegini boleh berlaku ke atas negara kita pada bila-bila masa,

“Jika kita tidak bersedia, sudah tentu kita tidak akan dapat memberikan respons yang berpadanan,” kata Panglima Angkatan Tentera.

Tambahnya, kegagalan memberikan tindak balas sewajarnya akan menyebabkan kepentingan dan kedaulatan negara tergadai.

Jelasnya lagi, pengalaman yang lalu telah memberikan petunjuk kepada ATM untuk memperkasakan keupayaan berdikari dan mengukuhkan daya tahan angkatan sebaik-baiknya.

“Jalan terbaik untuk kita terus bersedia adalah dengan memperkukuhkan konsep kebersamaan kerana ianya telah terbukti keberkesanannya,” ujar beliau.

Terdahulu, Affendi hadir memeriksa Perbarisan Tempur statik yang terdiri daripada 1,887 orang anggota dan pegawai tentera dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. Beliau bersama Panglima-panglima Perkhidmatan turut menyaksikan Demonstrasi Keupayaan Aset dan Kompetensi Pasukan Khas ATM yang diadakan bersempena perbarisan ini.

Panglima Angkatan Tentera turut menyampaikan anugerah kecemerlangan dan penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara.

Selain itu, Affendi turut menyempurnakan Pelancaran Buku Strategi Ketenteraan Negara (SKN 2.0). – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply