Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Kali terakhir TLDM dapat kapal kombatan 25 tahun lalu

Kali terakhir TLDM dapat kapal kombatan 25 tahun lalu

by Nurulhuda

LUMUT, 4 Okt – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menegaskan mereka memerlukan kapal kombatan yang baharu dengan melihat keadaan semasa armadanya.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) dalam kenyataan memaklumkan, kali terakhir TLDM telah mendapat kapal kombatan adalah pada 25 tahun lalu (1997) melalui pembelian kapal Korvet Kelas Laksamana.

“Tidak dinafikan kita sangat berbangga dengan keupayaan kapal kombatan Armada Barat mengekalkan keupayaan pengoperasian peralatan tempur setanding dengan tentera laut negara sahabat yang lebih maju,

“Contohnya, kejayaan KD LEKIR yang berusia 38 tahun melancarkan misil Exocet MM40 tepat mengenai sasaran di perairan Hawaii sewaktu Eksesais RIMPAC 2022 baru-baru ini,

“Namun, ketandusan kapal kombatan di Armada TLDM, seperti Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) dan Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) Batch 2, mengakibatkan kapal kombatan sedia ada seperti KD LEKIR, KD LEKIU dan KD JEBAT terpaksa dioperasikan melebihi dari tempoh kitaran operasi mereka,

“Armada TLDM bukan sahaja menghadapi cabaran mengoperasikan aset yang usang tetapi juga kekurangan aset kombatan yang bersesuaian bagi mempertahankan kedaulatan negara. Pembangunan keupayaan pula tidak berlaku dalam sekelip mata sahaja,” kata MPAB.

Dalam kenyataan yang sama, MPAB menyatakan TLDM amnya dan Armada Barat khasnya sangat memerlukan peningkatan keupayaan kombatan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara.

“Perolehan aset baharu seperti LMSB2 seperti yang diuar-uarkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) diperlukan segera bagi menampung peningkatan keperluan pengoperasian yang semakin mendesak serta mendepani landskap keselamatan serantau yang jauh berubah,

“Cabaran dan tanggungjawab yang semakin besar dan mencabar ini tidak terdaya ditampung sekiranya jumlah aset yang ada masih kekal seperti 25 tahun lalu” ujar MPAB.

Pada ketika ini, Eksesais KERISMAS 27/22 (KERISMAS 27/22) sedang dilaksanakan oleh TLDM. Latihan ketenteraan ini adalah yang terbesar dilaksanakan oleh angkatan laut itu.

Jelas MPAB, cabaran terbesar yang dijangka dihadapi oleh Armada Barat dalam eksesais ini pastinya kesukaran mengoperasikan aset yang semakin berusia.

“Jika sekitar sedekad dahulu, Armada TLDM berbangga memiliki sebanyak 16 kapal kombatan berkeupayaan tempur (misil), tetapi jumlah ini berkurangan dengan drastik pada hari ini akibat faktor keusangan sistem persenjataan dan juga sistem sokongan yang lain,” tegasnya.

Sebelum ini, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany menyatakan keadaan semasa aset armada TLDM adalah tidak berpadanan dengan ancaman semasa serta amanah yang dipertanggungjawabkan.

Menurut beliau keadaan ini umpama menebang pokok dengan menggunakan pisau cukur.

“Selalu saya ungkapkan bagi memahami situasi ini, sebagai contoh, kita diberikan tugas untuk menebang pokok kerana pokok tersebut menjadi ancaman kepada penduduk di sekelilingnya,

“Jika saya diberikan gergaji mesin atau chainsaw yang baik, sudah tentu saya dapat menebang pokok tersebut dengan cepat dan mudah,

“Namun jika saya hanya diberikan pisau cukur atau gergaji tangan, sudah tentu ia mengambil masa yang lama dan mungkin mengakibatkan kecederaan kepada diri saya sendiri atau pokok tersebut tumbang dahulu menyebabkan kecederaan kepada penduduk sekeliling,

“Itulah analogi mudah untuk saya gambarkan situasi semasa TLDM dan keselamatan maritim secara amnya,” jelas Reza dalam Wawancara Khas Sempena 40 Tahun Penubuhan Pasukan Khas Laut (PASKAL).

Air Times sebelum ini menjangkakan TLDM hanya mempunyai 3 buah kapal kombatan dalam armadanya untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara di kawasan perairan tanah air. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply