KUALA LUMPUR, 29 MEI – Laporan akhir nahas 2 helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya di Lumut, Perak pada 23 April lepas, akan diterbitkan esok.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Dalam mesyuarat Kabinet hari ini, Menteri Pertahanan ada memaklumkan mengenai status terkini laporan penuh nahas 2 helikopter TLDM di Lumut,
“Beliau memaklumkan, laporan (akhir itu) tersebut sudah siap dan akan diterbitkan esok,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Dalam tragedi pada jam 9.32 pagi itu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada 7 kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan 3 kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.
Terdahulu, Lembaga Siasatan 2 helikopter terhempas telah mendedahkan 5 fakta utama dalam laporan awal yang dikeluarkan berkaitan insiden tersebut.
Antara yang dinyatakan adalah kesemua kru udara yang terbabit dalam nahas tersebut mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat dan tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.
Selain itu, kedua-dua pesawat disahkan berada dalam keadaan airworthy (safe to fly) semasa hari kejadian pada hari kejadian.
“Pesawat HOM AW139 turut mempunyai kotak hitam, manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada 2003 dan berusia 21 tahun tidak dilengkapi peralatan itu,” jelas TLM dalam kenyataan terdahulu. -airtimes.my
#airtimes #lumut #nahashelikopter #pertahanan #TLDM