Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Nahas helikopter Lumut: Laporan akhir dijangka siap 29 Mei ini – TLDM

Nahas helikopter Lumut: Laporan akhir dijangka siap 29 Mei ini – TLDM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Laporan akhir tragedi 2 helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut yang mengorbankan 10 nyawa pada 23 April lalu, dijangka siap 29 Mei ini.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut berkata, Lembaga Siasatan akan terus mengenal pasti aspek-aspek berkaitan yang perlu diteliti dengan lebih mendalam dan menyediakan Laporan Akhir secara menyeluruh serta terperinci.

Menurutnya, TLDM memberi jaminan bahawa siasatan ini dilaksanakan dengan telus dan komprehensif bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Lembaga Siasatan yang ditubuhkan dianggotai oleh 9 pegawai TLDM yang berkepakaran penerbangan dan kejuruteraan udara,

“Lembaga ini turut mendapat bantuan daripada Markas Tentera Udara – Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan doktor perubatan ATM,

“Kerjasama, kepakaran dan pandangan dari pihak OEM iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter turut dirujuk bagi melengkapkan siasatan termasuk analisis penuh rakaman Multi Purpose Flight Data Recorder (black box) pesawat HOM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, TLDM berkata, pihaknya akan terus berusaha untuk memastikan aspek kebajikan ahli keluarga mangsa nahas diuruskan dengan sebaiknya, terutamanya berhubung dengan ganjaran dan faedah-faedah sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Dalam kenyataan yang sama, TLDM mengesahkan kesemua kru udara yang terbabit dalam nahas tersebut mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat.

Tambahnya, tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

Ujarnya lagi, kedua-dua pesawat disahkan berada dalam keadaan airworthy (safe to fly) semasa hari kejadian.

“Kerja-kerja selenggaraan bagi kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak Original Equipment Manufacturer (OEM),

“Keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan,” tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pesawat HOM AW139 mempunyai ‘black box’, manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada 2003 iaitu 21 tahun lalu tidak dilengkapi dengan peralatan tersebut.

“Data yang telah dianalisis daripada Multi Purpose Flight Data Recorder (black box) pesawat HOM AW139 telah diterima pada 3 Mei daripada pihak OEM untuk penilaian lanjut oleh Lembaga Siasatan,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam tragedi pada 9.32 pagi itu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada 7 kru HOM-AW139 dan 3 kru Fennec TLDM terkorban, selepas helikopter dinaiki mereka terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak. -airtimes.my

#airtimes #lumut #nahashelikopter #pertahanan #TLDM

Related Articles

Leave a Reply