LUMUT, 18 JUN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) melaksanakan rondaan bersama di perairan Selat Melaka dalam Operasi Patkor Malindo (OP PATKOR MALINDO) Siri 164/24 bermula 12 hingga 25 Jun ini.
Markas Pemerintahan Armada (MPA) Barat memaklumkan, operasi gabungan kerjasama itu adalah bagi memperkasakan rondaan penguatkuasaan perundangan maritim di perairan kedua-dua negara dalam usaha memastikan kedaulatan perairan Selat Melaka kekal selamat dan terpelihara.
Menurut MPA Barat, pada operasi kali ini, TLDM diwakili oleh KD HANDALAN dan KD JERAI manakala KRI TORANI dan KRI KRAIT pula mewakili TNI-AL.
“Kerjasama TLDM dan TNI-AL ini akan sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan perairan, seterusnya meningkatkan keyakinan komuniti maritim di perairan Selat Melaka,” jelas MPA Barat menerusi hantaran di media sosialnya pada Isnin.
Terdahulu, Majlis Pembukaan Op PATKOR MALINDO telah disempurnakan oleh Komandan Komando Pembinaan Doktrin, Pendidikan dan Latihan Angkatan Laut (DANKODIKLATAL), Leftenan Jenderal TNI (Mar) Nur Alamsyah bersama Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin Ludin di Pangkalan Utama Angkatan Laut I (LANTAMAL 1), Belawan, Indonesia pada 12 Jun 2024.
Turut hadir, Panglima Komando Armada I (PANGKOARMADA I) Laksamana Muda TNI Dr. Yoos Suryono dan Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Roslee Mohamad Isa. -airtimes.my
#Malaysia #Indonesia #TLDM #TNIAL #OpPatkorMalindo #airtimes